RAMALLAH: Tentera rejim Zionis dilaporkan menahan 5,426 penduduk Palestin, beratus-ratus daripadanya wanita dan kanak-kanak, dalam tempoh enam bulan tahun ini.
Daily Sabah melaporkan, sejumlah 854 kanak-kanak dan 107 wanita antara yang ditahan sejak awal tahun ini, menurut laporan bersama Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan, Persatuan Tawanan Palestin, Persatuan Pendukung dan Hak Asasi Manusia Penjara Addameer serta Pusat Maklumat Wadi Hilweh.
Menurut laporan itu, Mei lalu menyaksikan rejim Zionis bertindak agresif dengan menahan 3,100 penduduk Palestin, jumlah tertinggi berbanding bulan lain.
Laporan tersebut menambah, jumlah tangkapan tertinggi iaitu 1,699 orang berlaku di Baitulmuqaddis Timur yang dijajah rejim Zionis.
Mei juga menyaksikan tunjuk perasaan yang meluas dilancarkan penduduk Palestin ekoran kekejaman Zionis mengusir penduduk di Sheikh Jarrah, Baitulmuqaddis Timur dan juga kawasan lain.
Laporan menyebut, jumlah yang ditangkap dalam tempoh itu adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas.
Jelas laporan berkenaan, ada yang telah dibebaskan namun dianggarkan 4,850 penduduk Palestin masih ditahan di penjara Israel, termasuk 41 wanita, 225 kanak-kanak bawah umur dan 540 orang yang ditahan di bawah dasar penahanan pentadbiran Israel, yang membenarkan penahanan tanpa tuduhan dan perbicaraan.










