53 peratus penularan industri sumbang peningkatan kes Covid-19 di Johor

53 peratus penularan industri sumbang peningkatan kes Covid-19 di Johor

R. VIDYANANTHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Peningkatan kes positif Covid-19 harian di Johor khususnya semalam yang menyaksikan sebanyak 1,449 kes baharu disumbangkan oleh sektor perkilangan selain peningkatan ujian bersasar terhadap pekerja industri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, penularan utama dilaporkan berlaku dalam kalangan pekerja yang tinggal di asrama sehingga merekodkan 82 kluster yang masih aktif ketika ini.

Ia sekali gus menjadi kluster aktif tertinggi yang dicatatkan di Johor iaitu 53 peratus daripada keseluruhan 154 kluster, diikuti 30 kluster dalam komuniti (19 peratus); 27 dalam institusi (18 peratus); 10 kluster di pasaraya (6 peratus); 3 kluster tahanan (3 peratus) dan 2 kluster Import A (1 peratus).

“Sebanyak 352 kes (24.3 peratus) adalah daripada kluster semasa di negeri Johor, ini menjadikan jumlah kes sebanyak 85,707 kes di seluruh negeri. Daripada bilangan tersebut, 74,595 kes telah pulih (87 peratus), dengan 10,285 kes Covid-19 yang masih aktif dan telah pun diasingkan sama ada di rumah atau di hospital dan pusat rawatan. 

“Kumulatif kematian setakat ini adalah sebanyak 827 kes dengan penambahan sebanyak 24 kematian pada hari semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata Vidyananthan, kejadian kes Covid-19 pada masa ini juga berkait rapat dengan aktiviti sosial terutamanya pada musim perayaan atau upacara kematian seperti Kluster Jalan Bistari Yayasan di Segamat yang melaporkan kes indeks merentas negeri dari Selangor.

“Kes indeks menghadiri upacara pengebumian ahli keluarganya sehingga menyebabkan seramai 23 orang ahli keluarga lain dijangkiti. Begitu juga Kluster Teratai Kulai melaporkan aktiviti kunjung-mengunjung semasa perayaan Hari Raya Aidiladha sehingga menyebabkan 39 orang telah dijangkiti.

“Selain itu, terdapat kes varian yang membimbangkan (VOC) juga yang telah dilaporkan melibatkan daerah Johor Bahru, Mersing, Segamat, Tangkak dan Muar. Walaubagaimanapun, bilangan VOC yang dilaporkan adalah kecil dan masih lagi terkawal,” katanya.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, program pemberian vaksin Covid-19 melibatkan petugas barisan hadapan menyaksikan sebanyak 71,623 petugas telah diberi vaksin dos pertama dan 67,004 orang telah terima lengkap dos kedua.

Manakala fasa kedua yang bermula pada 29 April lalu sehingga semalam menyaksikan, seramai 828,921 orang yang telah menerima dos pertama dengan 322,233 orang daripadanya lengkap kedua-dua dos.

“Ini menjadikan kumulatif penerima vaksin bagi suntikan dos pertama bagi Johor adalah sebanyak 900,544 (32.7 peratus) dan daripada jumlah tersebut 389,237 (13.9 peratus) telah lengkap menerima dos kedua.

“Setakat hari ini, sebanyak 231 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah beroperasi di seluruh negeri melibatkan 41 PPV Awam, 12 PPV Mega, 3 PPV Industri dan 175 PPV Swasta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya