5,000 petugas ditambah di Lembah Klang, Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

5,000 petugas ditambah di Lembah Klang, Negeri Sembilan

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menambah lebih kurang 5,000 petugas atau sukarelawan untuk menyokong penyampaian perkhidmatan menangani pandemik Covid-19 di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, selain petugas tetap dan kontrak yang telah ditempatkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, KKM telah pun menambah segera 1,190 petugas kesihatan di tiga negeri itu.

“Seramai 417 petugas kesihatan dari negeri lain sudah digerakkan ke Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan dalam usaha membantu dan memperkasakan kesihatan awam.

“Bagi menyokong perkhidmatan sedia ada, kita juga akan menambah lebih kurang 5,000 petugas atau sukarelawan untuk Lembah Klang dan Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang akhbar berkaitan Pengurusan Pandemik Covid-19 di Lembah Klang secara maya hari ini.

Adham berkata, buat masa ini, kerajaan telah  membelanjakan peruntukan tambahan sebanyak RM700 juta di seluruh negara. 

Katanya, selain peruntukan bagi pengurusan Covid-19 di Lembah Klang iaitu aktiviti penyumberluaran sebanyak RM 100 juta, kerajaan juga memperuntukkan pengurusan kesihatan mental sebanyak RM 20 juta.

“Kita juga menambah kelengkapan wad bagi 151 katil serta 15 ventilator dan berkaitan dengannya di HTAR melibatkan RM5 juta, penambahan ruang di hospital-hospital di Selangor sebanyak RM5 juta dan pembayaran elaun Covid-19 bagi kakitangan di ICU sebanyak RM1,000 sebulan.

“Malah, penyediaan taska dan sewa bangunan bagi menempatkan anak-anak petugas sebanyak RM1.5 juta, penyediaan pusat kuarantin khas bagi petugas dengan peruntukan sebanyak RM2 juta,” katanya.

Tambahnya, semua Ketua Jabatan diharapkan dapat mempertimbangkan kemudahan cuti tanpa rekod yang dimohon petugas bagi membolehkan proses pemulihan mental dan fizikal mereka sebelum bertugas semula. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya