5 main badminton, 4 main bola keranjang dikompaun - Utusan Malaysia

5 main badminton, 4 main bola keranjang dikompaun

EMPAT lelaki yang dikompaun kerana bermain bola keranjang di Taman Venice, Lumut semalam. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Lima lelaki dikompaun selepas bermain badminton di sebuah gelanggang badminton di sekitar Ayer Tawar dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kesemua mereka berusia antara 25 hingga 31 tahun didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, mereka melakukan aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan tertutup semasa pemeriksaan dilakukan oleh Pasukan Task Force Pematuhan Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Manjung.

“Ketika anggota polis masuk ke dalam dewan tersebut kira-kira pukul 6 petang, semua mereka sudah berhenti bermain badminton.

“Ini disebabkan anggota polis mengambil masa hendak masuk kerana pintu masuk dikunci. Semua individu dalam premis mengaku main badminton di dalam dewan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nor Omar, IPD Manjung mengeluarkan kompaun masing-masing bernilai RM2,000 di bawah kesalahan tidak melakukan langkah pencegahan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Pada masa sama katanya, pemilik premis pula ditawarkan kompaun sebanyak RM4,000.

“Ketika pemeriksaan, pemilik premis tiada di situ, namun begitu pemilik premis akan dipanggil untuk tawaran kompaun kerana membenarkan aktiviti sukan ‘indoor’ iaitu bermain badminton dalam dewannya.

“Sukan badminton masih tidak dibenarkan bermain dalam tempoh Fasa 2 PPN,” tegasnya.

Sementara itu, Facebook Polis Daerah Manjung memaklumkan empat lelaki berusia antara 19 hingga 21 tahun dikompaun kerana bermain bola keranjang iaitu melakukan aktiviti sukan dan rekreasi secara berkumpulan dan bersentuhan fizikal.

Kesemua mereka juga masing-masing dikompaun RM2,000 kerana melanggar peraturan yang sama.

Mereka dikompaun oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Manjung yang menjalankan tugas Op Samseng Jalanan dan Op Covid di sekitar Taman Venice di sini pada pukul 6.45 petang semalam.

Justeru, orang ramai dinasihati supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi melandaikan lengkuk penularan wabak Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN