JOHOR BAHRU: Kementerian Sumber Manusia menerima sebanyak 4,267 aduan berkaitan pelbagai isu buruh menerusi aplikasi ‘Working For Workers’ (WFW) yang dilancarkan pada awal Mei lalu.
Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, daripada jumlah itu, aduan berkenaan majikan tidak membenarkan pekerja bekerja dari rumah (BDR) merekodkan aduan tertinggi iaitu sebanyak 1,878 kes.
Katanya, aduan berkaitan dengan gaji yang tidak dibayar atau pembayaran gaji lewat pula merekodkan 1,013 kes dilaporkan di seluruh negara.
Tambahnya, antara isu lain yang turut mendapat aduan yang tinggi adalah pemotongan upah tidak mengikut undang-undang yang melibatkan 308 kes.
“Daripada kesemua aduan yang diterima sejak Mei lalu itu, sebanyak 3,379 aduan yang diterima telah diambil tindakan selanjutnya termasuk tindakan perundangan manakala 164 kes sedang menunggu verifikasi.
“Setelah siasatan dijalankan, ia bukanlah majikan tak benarkan bekerja dari rumah tetapi majikan tidak mengikut syarat ditetapkan iaitu 60 peratus bekerja di tempat kerja atau kilang manakala selebihnya bekerja dari rumah.
“Banyak yang kita buat semakan tak berlaku seperti gaji tidak dibayar manakala upah kerja lebih masa turut dipotong sedangkan kerajaan beri insentif yang besar untuk membantu majikan meringankan beban mereka ketika menghadapi pandemik Covid-19,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Awang mengetuai Operasi Pematuhan Akta 446 dan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sebuah kilang elektronik dan sebuah asrama pekerja asing di Kawasan Perindustrian Dewani, di sini.
Operasi itu melibatkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.
Awang berkata, daripada aduan yang diterima itu, sebanyak 616 kes masih menunggu pemeriksaan dijalankan manakala 108 kes lagi sedang dalam proses mendapatkan pengesahan.
Katanya, aduan lain yang turut diterima adalah berkaitan dibuang kerja tanpa notis melibatkan 263 kes manakala tiada bayaran lebih masa dan faedah pemberhentian adalah sebanyak 254 kes.
“Kementerian turut menerima 107 aduan berkaitan majikan tidak mematuhi upah minimum, 81 kes berkaitan tiada kontrak pekerjaan dan 66 kes tiada cuti tahunan,” jelasnya.
Selangor mencatatkan aduan tertinggi iaitu sebanyak 1,451 kes diikuti Kuala Lumpur 1,007 kes dan Johor dengan 539 kes.