PUTRAJAYA: Pasukan Task Force Operasi Pematuhan terus bertindak tegas semalam apabila mengarahkan 29 lagi premis ingkar prosedur operasi standard ditetapkan kerajaan untuk ditutup melibatkan kilang, premis perniagaan, tapak pembinaan di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia meliputi sejumlah 29 buah premis pasukan itu melaksanakan pemeriksaan ke atas 2,239 kilang selain 16,666 premis perniagaan, 641 tapak pembinaan dan 369 asrama pekerja.
Ujar Menteri Kanan Pertahanan itu, secara keseluruhannya mereka melakukan 85,948 pemeriksaan dan serbuan mengejut dengan kekuatan seramai 21,338 anggota dari pelbagai agensi.
“Lapan pendatang tanpa izin turut ditahan dan tujuh kenderaan darat disita melalui Operasi Benteng.
“Cuma seorang dari 31 pekerja asing disahkan positif Covid-19 di seluruh negara semalam setelah melalui ujian saringan wajib kelolaan Kementerian Sumber Manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan 635 individu diberkas semalam dengan 590 daripadanya dikompaun manakala 45 lagi direman.
“Kesalahan tertinggi semalam masih lagi gagal merekod butiran diri di premis iaitu 87 kes, diikuti bawa penumpang berlebihan dengan 81 kes, gagal memastikan penjarakan fizikal (47), tidak memakai pelitup muka (68), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (51), dan lain-lain lagi (279),” katanya. – UTUSAN ONLINE










