KULAI: Ketika negara sedang berdepan peningkatan kes positif dan pandemik Covid-19 yang tidak berkesudahan, sekumpulan individu masih tegar melakukan aktiviti yang bukan sahaja melanggar prosedur operasi standard (SOP), tetapi menyalahi undang-undang.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, plis menahan 20 lelaki kerana terlibat dalam aktiviti judi laga ayam di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Baru Senai, di sini semalam.
Menurut beliau, Op Judi Laga Ayam itu dijalankan sekumpulan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada pukul 4.40 petang.
Katanya, semua individu yang ditahan berusia antara 22 hingga 62 tahun, malah ketika pemeriksaan mendapati lapan ekor ayam sudah mati dipercayai akibat perbuatan itu manakala 11 ekor lagi masih hidup.
“Ketika serbuan dijalankan, polis mendapati sekumpulan individu sedang berkumpul dan bersorak di bawah khemah yang dipercayai sedang melakukan aktiviti perjudian.
“Sehubungan itu, polis bertindak menahan kesemua 20 suspek yang terlibat dan dibawa ke IPD Kulai untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beng Yeow berkata, dalam operasi itu juga, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM29,965 dan beberapa peralatan yang digunakan untuk perjudian laga ayam.
“Kesemua suspek kini dikenakan tahanan reman tiga hari bermula hari ini oleh Majistret Kulai, Sharifah Maleeha Syed Hussin,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953; Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1952; Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021. – UTUSAN ONLINE