PUTRAJAYA: Dua skim tanah rancangan Felda di dua negeri antara sembilan lokaliti yang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Rabu hingga 27 Julai ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua lokaliti itu ialah Felda Lembah Klau di Mukim Gali, Daerah Raub, Pahang dan Felda Maokil di Daerah Muar, Johor.
Katanya, selain itu dua perkampungan di Daerah Lundu, Kuching, Sarawak iaitu Kampung Kendaie dan Kampung Bukit Batu; lima lokaliti di Sabah antaranya Kampung Madsiang, Apartment Beverly Hills Fasa 2 dan Kampung Kobusak di daerah Penampang serta Taman Muhibbah Fasa 1, 2 dan 3 di Daerah Beaufort serta Kampung Patikang Ulu di Daerah Keningau.
“Di kampung itu pula, ia meliputi tiga kilang dan kuarters milik syarikat Focus Lumber, Veracity dan Hasil Jadi selain Pusat Memandu IDA serta penempatan warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu ujarnya, dua lokaliti PKPD dilanjutkan lagi melibatkan kuarters pekerja berpusat (CLQ) Gamuda Garden, Kundang Jaya, Rawang, Daerah Gombak, Selangor dan Flat Taman Benus Jaya, Daerah Bentong, Pahang.
Bagaimanapun kata beliau, tiga lokaliti lagi di Selangor berakhir PKPD esok seperti dijadualkan antaranya Taman Murni, Daerah Sepang; Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Daerah Hulu Langat dan CLQ Johan Setia di Kampung Johan Setia, Daerah Klang.
Ismail Sabri menambah, di Sarawak pula, hanya satu lokaliti berakhir PKPD esok seperti ditetapkan iaitu di Kampung Tematu, Jalan Batu, Daerah Kitang, Bahagian Kuching termasuk enam lokaliti di Sabah antaranya kuarters kilang bata Kampung Durok di Kampung Limbawan Sayur, Daerah Keningau, Bahagian Pedalaman.
Juga Rumah Pekerja Ladang Sungai Balung, Bahagian Tawau serta Kampung Linukaan, Daerah Kota Marudu; Kampung Perpaduan Gumpa, Kampung Perpaduan 2 dan Kampung Timbagaan, Matunggong, Bahagian Kudat. – UTUSAN ONLINE










