1MDB: Kerajaan terima bayaran pertama AMMB Holdings Berhad RM1.8 bilion - Utusan Malaysia

1MDB: Kerajaan terima bayaran pertama AMMB Holdings Berhad RM1.8 bilion

Bicara kes skandal 1MDB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menerima bayaran pertama daripada AMMB Holdings Berhad sebanyak RM1.8 bilion yang didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery Trust Account).

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, wang tersebut adalah sebahagian daripada penyelesaian berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jelasnya, baki bayaran penyelesaian sebanyak RM1.03 bilion lagi akan dilunaskan AMMB Holdings Berhad pada Disember ini dan Julai 2022, masing-masing sebanyak RM515 juta.

“Sehingga kini, Akaun Amanah berkenaan – di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara – telah menerima sebanyak RM18.176 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.

“Dana tersebut telah atau akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC,” katanya hari ini.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat ini, kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.54 bilion hutang 1MDB dan RM3.8 bilion hutang SRC.

Beliau memberitahu, setakat 30 Jun lalu, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon atau keuntungan atau faedah bagi bon, Sukuk dan pinjaman berjangka, adalah sebanyak RM39.66 bilion (1MDB) dan RM1.85 bilion (SRC).

“Namun, baki semasa Akaun Amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun 2021 dan 2022 sahaja,” katanya.

Kementerian Kewangan turut memberitahu, setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, kerajaan masih perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokong kerajaan melalui Jaminan Kerajaan (Government Guarantee) dan Surat Sokongan (Letter of Support) semasa hutang-hutang ini diterbitkan.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan akan sentiasa memastikan peruntukan yang secukupnya bagi menyelesaikan hutang 1MDB dan SRC, untuk menguruskan beban kewangan skandal 1MDB dan SRC.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN