1,878 aduan diterima majikan tak benarkan pekerja bekerja dari rumah - Utusan Malaysia

1,878 aduan diterima majikan tak benarkan pekerja bekerja dari rumah

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia menerima 1,878 aduan menerusi aplikasi Working for Workers (WFW) berhubung majikan tidak membenarkan pekerja bekerja dari rumah (BDR) bagi tempoh 23 Mei sehingga semalam.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, negeri yang merekodkan paling banyak jumlah aduan adalah Selangor (696 aduan) diikuti Kuala Lumpur (505 aduan), Johor (196 aduan) dan Pulau Pinang (123 aduan).

“Dari 1 Jun hingga semalam, 59 kompaun berkaitan ketidakpatuhan kepada kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat atau tempat kerja telah dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Pihak kementerian menerima banyak aduan daripada pekerja yang diugut oleh majikan untuk hadir bekerja seperti biasa dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka diberhentikan kerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, oleh itu, sekiranya pekerja masih diarahkan oleh majikan untuk hadir ke tempat kerja, aduan boleh disalurkan menerusi aplikasi WFW.

“Selain kategori aduan BDR, aplikasi ini juga mempunyai 16 kategori aduan lain membabitkan isu perburuhan. Kita sentiasa memberi perhatian terhadap aduan-aduan yang diterima dan tindakan sewajarnya akan diambil oleh kementerian,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengingatkan majikan untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan dilaksanakan di mukim-mukim Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur mulai esok hingga 16 Julai.

Katanya, majikan juga digesa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, khususnya dari segi penetapan kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat atau tempat kerja seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Pekerja selain daripada perkhidmatan perlu (essential services) tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja di pejabat atau tempat kerja sepanjang tempoh PKPD.

“Justeru, majikan adalah dikehendaki untuk mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja-pekerja BDR,” tegasnya.

Beliau berkata, pihaknya akan mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan melalui akta-akta di bawah kementerian dan menyeru majikan mematuhi SOP PKPD yang ditetapkan sebagai langkah bersama bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN