PUTRAJAYA: Sejumlah 180 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan Task Force Operasi Pematuhan melaksanakan 80,339 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,029 orang.
Katanya, pemeriksaan dilaksanakan ke atas 2,246 kilang, 15,682 premis perniagaan, 924 tapak pembinaan dan 326 asrama penempatan pekerja.
“Semalam, 438 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 404 individu dikompaun manakala 33 lagi direman dan seorang dijamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, Operasi Benteng semalam menangkap 10 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas empat kenderaan darat.
Pada masa sama kata beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 815 pemantauan harian ke atas 10 jenis bekalan barangan terdiri daripada peringkat peruncit (629), pemborong (155) dan pengilang (31).
Katanya, KPDNHEP juga melakukan 1,857 Pemeriksaan Khas Pematuhan SOP sepanjang PKP dan daripada jumlah itu, 1,850 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala tujuh premis dikompaun kerana tidak patuh SOP.
“Semalam, hanya seorang daripada 143 warga asing yang menjalani ujian saringan didapati positif Covid-19,” katanya.










