11 kes Covid-19 di Parlimen  - Utusan Malaysia

11 kes Covid-19 di Parlimen 

SEMUA yang berada dalam Parlimen, Ogos lalu perlu menjalani ujian saringan susulan terdapat kes positif Covid-19. - GAMBAR FAIL/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 11 kes positif Covid-19 hasil pemeriksaan ke atas 1,183 individu yang hadir di Parlimen sepanjang tempoh Sidang Mesyuarat Khas Parlimen semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sembilan daripada kes itu dikesan melalui kit ujian kendiri RTK Antigen (Ag) air liur yang dilaksanakan petang semalam.

Katanya, pelaksanaan ujian kendiri itu dilakukan susalan pengesanan dua kes positif yang dikesan di dalam bangunan berkenaan.

“Pada 29 Julai, pukul 12.30 tengah hari, KKM dimaklumkan mengenai dua kes positif Covid-19 yang hadir ke Parlimen.

“Kes pertama adalah seorang petugas yang hadir ke Parlimen pada Isnin sehingga Rabu lalu dan dilaporkan positif Covid-19 semalam selepas melalui ujian pengesahan RT PCR yang dijalankan sendiri di sebuah fasiliti kesihatan kerana mengalami gejala batuk dan selesema.

“Bagi kes kedua pula ia dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi semalam menggunakan ujian kendiri RTK Ag air liur kerana mengalami gejala batuk,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Noor Hisham, siasatan mendapati kedua-dua kes itu tiada kaitan dengan kes positif yang dikesan dalam saringan petugas Parlimen yang dijalankan tiga hari sebelum Sidang Mesyuarat Khas Parlimen bermula.

Katanya, kedua-dua kes berkenaan juga negatif Covid-19 apabila saringan dilakukan ke atas mereka sebelum bertugas di Parlimen.

“Penilaian risiko berdasarkan maklumat siasatan awal serta sejarah pergerakan didapati kes dikhuatiri berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa tempoh Sidang Mesyuarat Khas Parlimen.

“Sehubungan itu, KKM menasihatkan semua yang hadir dan berada di Parlimen bermula pada 26 Julai untuk menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva,” katanya.

Beliau berkata, pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) kemudian digerakkan bagi menjalankan saringan di Parlimen pada pukul 8 malam semalam.

“Secara keseluruhan, sebanyak 11 kes positif  dikesan pada 29 Julai lalu iaitu 10 melalui RTK Ag dan satu melalui RT PCR.

“Pejabat Kesihatan akan menyusuli selanjutnya ke atas 10 kes positif ujian saringan pengesanan Covid-19 tersebut,” ujarnya.

Berikutan pengesanan kes positif Covid-19 ini, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen.

“Semua yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

“Mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen. KKM akan memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan terkini hasil ujian dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan,” katanya.

Semalam, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon memaklumkan Sidang Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan sehingga Isnin berikutan terdapat dua kes positif Covid-19 yang dikesan di bangunan berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN