Undang-undang darurat bakal diguna pihak tertentu ikut tafsiran sendiri - Razlan Rafii - Utusan Malaysia

Undang-undang darurat bakal diguna pihak tertentu ikut tafsiran sendiri – Razlan Rafii

RAZLAN RAFII
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdebatan dan tafsiran undang-undang mengenai polemik darurat bakal digunakan pihak tertentu demi menjaga kuasa politik meskipun usaha selama enam bulan bagi membendung wabak Covid-19 dilihat gagal.  

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Muhamad Rafii berkata, ini merujuk kepada Perkara 14 Persidangan Parlimen, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang boleh ditafsirkan mengikut pemahaman pelbagai pihak terutama kerajaan. 

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus lebih bertanggungjawab di atas kegagalan tersebut dan mengembalikan semula kuasa kepada istana untuk memutuskan sama ada proklamasi perlu ditamatkan atau sebaliknya. 

“Kerajaan sudah pasti menggunakan apa sahaja tafsiran mereka demi menjaga politik. Sekiranya nak menjaga keselamatan, kesihatan serta ekonomi negara, dalam jangka masa enam bukan ini kerajaan sudah gagal. 

“Kerajaan jangan terlalu mahu memikirkan kuasa politik semata. Lihatlah asas kehidupan rakyat hari ini yang sedang merana di negara sendiri akibat tindakan kerajaan dalam menyelesaikan apa yang mereka janjikan semasa cadangan darurat,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam. 

Kenyataan itu hadir selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, persoalan sama ada darurat yang akan tamat pada 1 Ogos nanti  perlu diteruskan atau tidak adalah atas budi bicara Seri Paduka dan tidak seharusnya timbul. 

Kenyataan itu sebagai merujuk kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang dilaporkan sebagai berkata, jika darurat diangkat, maka tiada yang dapat menghalang Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeru (PRN) yang sebelum ini tertangguh. 

Untuk rekod, Perkara 14 Ordinan Darurat menyatakan bagi tempoh darurat berkuat kuasa, peruntukan yang berkait dengan memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan. 

Parlimen juga hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagai mana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka. 

Mengulas lanjut, kata Mohd. Razlan, Muhyiddin harus sedar apabila Istana Negara sudah memanggil ketua-ketua parti untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas tentang keadaan negara, ia adalah bidang kuasa istana demi menjaga rakyat. 

“Katakan istana berpendapat bahawa darurat harus ditamatkan diatas kegagalan kerajaan menyelesaikan masalah kesihatan rakyat, adakah perdana menteri sanggup menolak saranan Yang di-Pertuan Agong? 

“Dalam sistem demokrasi berpalimen, ada bidang kuasa Ahli Parlimen untuk mengimbangi kuasa kerajaan. 

“Sekiranya Parlimen digantung disebabkan alasan darurat dan kerajaan boleh melakukan apa sahaja walaupun Kerajaan tidak mampu menjaga keselamatan rakyat, ini lebih teruk dari pemerintahan kuku besi,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya