TASEK GELUGOR: Tiga pelajar sekolah ditahan polis selepas dipercayai menunggang motosikal secara berbahaya di Jalan Tok Keramat, Padang Tembak, di sini semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 6.30 petang itu, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki berusia 12 tahun dan dua lagi berusia 13 tahun.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pasukan Skuad 42 Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Kontinjen negeri mengesan dua buah motosikal yang ditunggang tiga remaja lelaki.
“Mereka disyaki membuat aksi ‘wheelie’ bermula dari Jalan Titi Keramat ke arah Taman Cempedak sebelum ditahan.
“Kesemua mereka terdiri daripada pelajar sekolah iaitu penunggang berusia 12 tahun dan pemboncengnya berusia 13 tahun dan penunggang sebuah lagi motosikal berusia 13 tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Noorzainy mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawal pergerakan anak-anak dan tidak membenarkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen.
“Jangan jadikan jalan sebagai litar lumba haram kerana boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan orang lain,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan merbahaya. – UTUSAN ONLINE









