UMNO tak bincang isu Mageran - Utusan Malaysia

UMNO tak bincang isu Mageran

AHMAD Zahid Hamidi keluar dari Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO tidak membawa usul atau membincangkan isu penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) dalam pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu berpandangan Mageran tidak perlu ditubuhkan sebagai satu penyelesaian menyeluruh kepada krisis kesihatan, politik dan ekonomi.

Sebaliknya kata beliau, pengisytiharan darurat sehingga Ogos disifatkan memadai bagi menangani segala krisis pada masa kini.

“Kita tidak bincangkan soal (Mageran) itu. Saya rasa perkara itu adalah sesuatu keadaan norma di luar daripada apa yang sedia ada.

“Ini kerana pelaksanaan darurat kita mendapati ia mencukupi dalam soal-soal ini (krisis), namun ia digunakan untuk mencapai tujuan lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Istana Negara di sini.

Ahmad Zahid antara pemimpin parti politik yang dijemput hadir ke Istana Negara.

Selain beliau, pemimpin lain yang dijangka menghadap Seri Paduka adalah Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membawa usul penubuhan satu pasukan khas seperti yang pernah diguna pakai pada 1969 iaitu Mageran bagi menangani krisis yang melanda negara ketika menghadap Al-Sultan Abdullah.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, antara perbincangan lain dalam pertemuan itu adalah pendirian UMNO terhadap pelaksanaan darurat yang tidak perlu disambung selepas ini.

“UMNO bawa suara rakyat yang gelisah sehingga jejaskan mata pencaharian ekonomi mereka. UMNO berpendirian Parlimen wajar bersidang untuk mempertahankan sistem demokrasi serta mewujudkan elemen semak dan imbang dalam segala aspek yang berkaitan pentadbiran negara.

“Parlimen penting untuk suarakan hak rakyat seperti tuntutan moratorium dan pelbagai bantuan lain melibatkan semua golongan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya