UMNO rencat proses pemulihan negara jika keluar kerajaan PN, kata penganalisis - Utusan Malaysia

UMNO rencat proses pemulihan negara jika keluar kerajaan PN, kata penganalisis

NOOR NIRWANDY MAT NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: UMNO dilihat boleh merencatkan segala usaha pemulihan negara sekiranya membuat keputusan menarik diri daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas 1 Ogos ini.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ini termasuk menjejaskan penumpuan strategi mencari jalan keluar serta solusi pelbagai isu termasuk Covid-19 sebagaimana yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata, titah Seri Paduka tidak sepatutnya dipolemikkan kerana jelas Yang di-Pertuan Agong mahukan kesuburan politik demokrasi matang terus menjadi tunjang pentadbiran negara.

“Ahli politik harus mengambil maklum apa yang tersirat dalam mesej Seri Paduka adalah kepentingan bersama memperdebat permasalahan rakyat dan mencari ‘exit strategy’ dan memperhebat aspek berkepentingan rakyat khususnya dalam keselamatan ekonomi serta kesihatan. 

“Kerajaan PN harus memainkan peranan dalam mengelakkan berlakunya aspek berkepentingan peribadi dengan membuka perdebatan isu berkepentingan rakyat seperti morotarium dan proses vaksinasi dengan lebih optimum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Nirwandy berkata, rekonsilasi gabungan politik sangat diperlukan pada masa ini dan UMNO harus meletakkan imej parti rakyat dengan terus mendesak rekonsilasi berteraskan permuafakatan.

Pada masa sama, kata beliau, rakyat mahukan Parlimen bersidang dan mengagumi kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong mengawal keselamatan politik, ekonomi dan kesihatan.

Bagaimanapun, jelasnya, Parlimen harus menjadi medan perdebatan wakil rakyat untuk rakyat dan bukanlah untuk kepentingan peribadi. 

“Malah, menteri UMNO yang dilantik juga telah membuktikan keupayaan mereka dalam menjalankan tugas semasa pandemik Covid-19, maka penarikan diri UMNO dari kerajaan akan merencatkan proses pemulihan negara.

“Gabungan menteri UMNO yang sedia ada dan kepimpinan PN juga sedang melaksanakan pelan pemulihan Covid-19 yang telah mula menunjukkan keberkesanannya. Masyarakat juga harus faham tiada rujukan, asas serta pengalaman mana-mana negara memerangi wabak pandemik global seperti ini,” katanya.

Justeru, beliau berkata, usahasama parti politik berteraskan kepentingan rakyat harus diutamakan supaya semua pihak berjaya membina asas secara bersama mengatasi pandemik serta kesannya.

Katanya, inovasi dan memperkuatkan pentadbiran sedia ada dengan pengalaman menteri UMNO yang dilantik akan memastikan exit strategy yang dirancang berjalan dengan baik.

“Pilihan raya bukanlah medan terbaik penyelesaian masalah kerana kesan Pilihan Raya Negeri Sabah  jelas berlaku dan ia adalah amat membahayakan keselamatan rakyat,” tegasnya.

AHMAD ZAHID HAMIDI

Semalam, sebuah portal melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dikatakan mengadakan mesyuarat Biro Politik di ibu pejabat parti tersebut di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini. 

Sumber portal itu memberitahu, mesyuarat yang dijadualkan pada sebelah petang itu difahamkan membincangkan dan membuat keputusan mengenai kedudukan parti itu dalam kerajaan dan dijangka dihadiri oleh 10 anggota jawatankuasa pengurusan serta 13 pengerusi perhubungan negeri.

Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebelum ini turut berkata, parti itu tidak perlu mendesak kerajaan supaya mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam waktu terdekat ini, lebih-lebih lagi ketika negara masih menghadapi wabak Covid-19. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.