PETALING JAYA: Hampir separuh daripada 35,000 warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus gigih memastikan 9.5 juta pelanggannya mendapat perkhidmatan terbaik.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Baharin Din berkata, TNB terus menyampaikan perkhidmatan terbaik sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa 1 Jun lepas dan pihaknya juga secara berterusan menyokong usaha kerajaan memutuskan rantaian pandemik Covid-19.
Katanya, pelbagai langkah yang telah dan sedang pihaknya ambil bagi memastikan stesen-stesen janakuasa beroperasi dengan baik.
“Selain Penjanaan, warga kerja kritikal kami yang lain juga kekal bertugas bagi memastikan semua pengguna mendapat perkhidmatan dan bekalan elektrik yang berterusan serta stabil.
“Mereka termasuklah warga kerja teknikal di bahagian Grid serta Pembahagian yang turut melibatkan warga kerja kami yang melaksanakan kerja-kerja penyambungan dan pemulihan bekalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pembacaan meter TNB berjalan seperti biasa sepanjang sekatan pergerakan penuh manakala aktiviti pemotongan bekalan ditangguhkan sehingga 30 Jun ini.
“Bagi memudahkan pengguna domestik menguruskan pembayaran bil elektrik mereka, Pelan Bayaran Mudah dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.
Menurut Baharin, kerajaan juga telah mengumumkan pelanjutan pemberian diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus kepada beberapa sektor selama tiga bulan tambahan bermula Julai hingga September ini.
“Kedai Tenaga pula masih beroperasi, namun dalam tempoh yang lebih singkat. Pengguna amat digalakkan menggunakan kemudahan transaksi dalam talian, antaranya menerusi portal dan aplikasi myTNB, untuk sebarang urusan TNB.
“Sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, para pengguna diminta menghubungi TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB CareLine. Layanan dan tindakan sewajarnya akan diambil TNB,” katanya. – UTUSAN









