LUMUT: Cubaan sebuah bot untuk menyeludup ayam selasih dan burung merpati dipatahkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan Johor hari ini.
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintah Armada Barat Lumut dalam kenyataan memaklumkan, bot TLDM yang sedang melaksanakan Op Benteng Laut mengesan kehadiran bot asing itu sekitar pukul 3.15 pagi.
“Bot pemintas TLDM FCB 1326 dan RHIB Lepau mengesan sebuah bot mencurigakan menuju ke arah Pulau Che Kamat dari perairan negara jiran.
“Tindakan pantas kedua-dua bot TLDM itu berjaya memintas bot asing tersebut berhampiran Pulau Che Kamat di perairan Teluk Ramunia,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut, pemeriksaan mendapati seorang lelaki dipercayai tekong tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta membawa barang yang disyaki seludup.
Katanya, bot asing itu ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Tanjung Pengelih untuk siasatan lanjut.
“Pemeriksaan dalam bot itu menemukan 20 liter minyak, satu kotak berisi ayam selasih dan satu kotak berisi burung merpati. Nilai rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM7,000.
“Tekong dan barang rampasan diserahkan kepada Tim Op Merpati 1 Tentera Darat Malaysia untuk dilaksanakan siasatan dan saringan Covid-19,” katanya.
Tambah kenyataan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang menggugat keselamatan dan undang-undang negara.
“TLDM juga akan memastikan perairan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara dengan memperkasakan kesiagaan aset-aset Op Benteng Laut selain kerjasama bersepadu bersama agensi-agensi keselamatan lain,” katanya.