PETALING JAYA: Lima individu berdepan detik mencemaskan selepas sebuah lif jatuh dari tingkat dua di sebuah bangunan di Jalan Klang Lama, dekat sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, tiga daripada lima mangsa yang merupakan wanita cedera di bahagian kaki dalam kejadian tersebut.
Katanya, pasuakn bomba menerima panggilan kecemasan berhubungan kejadian itu pada pukul 4.22 petang.
“Seramai 25 anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh serta BBP Jalan Hang Tuah ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja tiba, didapati lima mangsa terdiri daripada dua lelaki serta tiga wanita berusia antara 28 tahun hingga 61 tahun di dalam lif berkenaan,” katanya.
Katanya, pasukan bomba mengambil masa beberapa minit bagi mengeluarkan semua mangsa berkenaan.
“Ketiga-tiga mangsa wanita mengalami kecederaan di bahagian kaki dan dihantar ke Taman Desa Medical Centre untuk menerima rawatan.
“Dua lagi mangsa lelaki pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE