Tiada kerajaan macam ini di dunia! - Utusan Malaysia

Tiada kerajaan macam ini di dunia!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGUAN MALAYSIA: Boleh berkongsi perkembangan terkini Tan Sri?
SYED HAMID: Terima kasih Mingguan Malaysia kerana sudi untuk mengadakan perbincangan dengan saya. Pertama saya bersyukur kepada Allah SWT kerana sihat dan dapat menjalankan aktiviti kehidupan seperti biasa. Bila saya dah bersara daripada politik dan tak bertanding apa-apa jawatan, ia membebaskan saya. Saya rasa bebas, dapat melihat kepada alam dan persekitaran dengan cara yang lebih luas.

Aktif dalam Bersatu?
Ahli sahaja, tapi saya tak pernah aktif, pasal masa saya dijadikan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, bukan kita dirujuk apa-apa pun. Kita cuma buat kita punya kerja berhubung pemilihan. Jadi bila dah habis pemilihan, mereka senyap saya pun senyap (tertawa). Saya pun tak pernah dapat ucapan, “oh terima kasih kerja kamu dah selesai”, tiada langsung. Jadi saya tak pernah anggap saya aktif sebab tak pegang apa-apa jawatan.

BLOK ARAB – VS – ISRAEL
Sebagai bekas Menteri Luar, apa pandangan Tan Sri terhadap dasar luar Malaysia bersama blok Arab yang kini galak normalisasi hubungan dengan Israel?
Kita punya dasar tidak ditentukan oleh negara Arab atau Asia Barat. Dasar luar kita, misalnya berhubung Palestin, kita tak tengok kepada negara-negara Arab. Kita berbaik di atas prinsip. Apakah yang menjadikan asas bantahan kita terhadap Israel? Bukan kerana Hamas, Fatah atau sesiapa. Kita punya asas adalah berdasarkan prinsip dan pendirian yang pragmatik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Maksudnya?
Sebab itu kita tak ikut tindakan negara-negara Arab (menormalisasi hubungan dengan Israel). Pertama, kita tak bersetuju dengan penjajahan Israel ke atas bumi Palestin, dan kedua kita tak bersetuju dengan penaklukan, ketiga kita tak setuju dengan dasar apartheid Israel dan keempat, kita tak bersetuju sebuah negara yang jadi kuasa keempat nuklear terbesar dunia mengambil tindakan menggunakan kekerasan sesuka hati dan menghalau penduduk asal tempat itu dengan alasan, mereka mempunyai hak sejarah. Jadi, itu kita punya pegangan, dan kalau negara-negara Arab nak berbeza, itu dia punya pasal. Jangan ingat negara Arab ini jadi tanda aras untuk menentukan dasar kita terhadap Israel, tidak.

NETANYAHU LINTAS MALAYSIA?
Pandangan terhadap pesawat Israel yang melintasi ruang udara Malaysia baru-baru ini?
Ruang udara Malaysia ini, saya tak tahu sama ada kita sedar atau tak, ruang udara kita saya fikir ia dikuasai oleh Singapura. Dia punya laluan semua dikuasai oleh Singapura. Dalam isu kapal terbang Israel tempoh hari, banyak kita tak sedar sebenarnya ia membawa Netanyahu melawat Singapura dan pergi melawat Australia.

Maksudnya pesawat Israel yang melintasi Malaysia baru-baru ini, ada Netanyahu di dalamnya?
Ia melintasi waktu itu, bukan mere­ka minta kebenaran dari kita. Saya fikir tak perlu mereka minta, dan dalam hal ini, kalau saya silap kamu boleh tanya pihak berautoriti di Malaysia terhadap ruang udara pesawat awam. Waktu isu itu, Indonesia sebab mereka tegas dalam hal ini, mereka langsung tak benarkan. Jadi saya fikir itu bukan soal dasar, sebab dasar luar ini ada dasar yang mempunyai penentuan, dan ada dasar bersifat situational (bersifat sementara bergantung kepada situasi semasa). Jadi dalam hal ini, kena tanya dengan kerajaan sama ada Israel ada minta kebenaran daripada kita? Sebab saya tengok dalam akhbar semua hentam kerajaan kononnya kita membenarkan, sedangkan kita tak tahu sama ada mereka perlukan kebenaran atau tidak.

Sesi wawancara bersama Tan Sri Syed Hamid Albar secara maya pada 8 Jun 2021. -GAMBAR-MOHD FARIZWAN HASBULLAH PEMBERITA-FAHMI& AIDA

MOSSAD
Sejauh mana isu babitkan Israel perlu diberi perhatian?
Begitu juga bila Israel beri amaran bahawa Malaysia merupakan satu sasaran, dan dia dah pernah ada rekod membunuh doktor Palestin di Malaysia dulu. Mereka ini beroperasi dalam negara kita, Mossad (agensi perisikan luar Israel) sangat aktif dan merupakan pembunuh yang sangat agresif dan aktif. Jadi kita kena peka dan prihatin, dan ini isu yang tak boleh bincang dalam surat khabar.

PESAWAT TEMPUR CHINA
Isu pesawat tempur China melintasi ruang udara dan kita hantar nota bantahan, berbeza dengan pendekatan kita terhadap Israel yang mana kita berdiam, adakah ini cerminan sikap dwi-standard?
Saya fikir ini lain, kita tak boleh samakan pasal itu adalah sebuah kapal terbang yang melalui ruang udara kita nak pergi dari satu destinasi ke destinasi lain. (Isu pesawat China) pula adalah satu latihan ketenteraan negara China. Soalnya bukan soal keselamatan yang kita buat bantahan, sebab kalau nak perang, memang tak terlawan kita dengan China. Mereka akan makan sahaja kita, mereka kuasa tentera dan ekonomi besar. Yang kita bantah itu, ada dua asas. Pertama kedaulatan Malaysia tak dihormati. Kedua, hubungan dua hala juga tak dihormati antara Malaysia dengan China. Kita tak patut melanggar ruang udara negara sahabat yang katanya akrab.

PERIKATAN NASIONAL DAN PANDEMIK
Dakwaan kononnya Malaysia menuju negara gagal susulan pandemik, apa pandangan Tan Sri?
Saya tidak suka mengatakan Malaysia sebagai sebuah negara gagal, sebab kita punya asas masih kukuh dan kuat. Kita punya eksport masih lagi kuat, kuasa membeli masih ada walaupun terganggu, consumer consumption masih bagus lagi. Sistem itu masih ada, cuma golongan yang tertekan lebih ramai berbanding di masa lalu. Yang paling penting sekarang, bukan kerana kita kurang hasil mahsul, tapi bagaimana kita hendak mengurus krisis, mengurus ekonomi kita dalam suasana krisis.

Jadi macam mana Tan Sri lihat keupayaan kerajaan sekarang uruskan krisis?
Ini soalan yang memang bagus betul untuk perangkap saya menjawabnya (tertawa). Saya fikir kalau kita ikut Saidina Ali R.A, lebih banyak kepala lebih bagus, lebih banyak berbincang lebih baik. Bawa lebih banyak orang, tidak kira sama ada pihak kerajaan atau pembangkang, semua orang patut sama-sama turut serta membangunkan negara bersama. Pada masa sama perlu telus, sebab sekarang di pihak rakyat, kita tak nafikan memang banyak kegusaran di kalangan rakyat, banyak yang tak puas hati dan banyak yang mereka pertikaikan. Ini jelas kalau kita tengok di media sosial misalnya.

KENA BUAT TESIS
Pengkritik dakwa punca kekeruhan Perikatan Nasional (PN) susulan sikap Bersatu yang tak ikhlas bersahabat dengan UMNO. Komen?
Ini memang Utusan punya line lah (tertawa). Saya fikir kita perlu balik kepada asal, hubungan penubuhan kerajaan ini satu perkara yang unik dalam dunia. Tidak pernah saya lihat dalam dunia ada kerajaan macam ini. Kita adalah kerajaan yang berasaskan parti, bila berasaskan parti, ahli parti itu duduk dalam kerajaan, tapi satu kaki di sebelah sini dan satu lagi kaki di sebelah sana. Jadi dalam keadaan itu, mana ada nilai kolektif?

Apa Tan Sri cuba sampaikan?
Maksudnya, mana ada nilai kebersamaan kalau keadaan macam itu. Jadi tidak boleh salahkan Bersatu atau UMNO, sebab dia punya perkahwinan ini, bila mereka dah kahwin sepatutnya tidur atas tilam sama, bantal yang sama, tapi mimpi lain-lain? Kalau tengok, UMNO berada dalam kerajaan, tapi UMNO yang di luar kerajaan hentam pula Perikatan Nasional teruk-teruk. Kerajaan ini memang unik, dunia luar yang tengok pun akan kata, “politik Malaysia sekarang ini memang kena buat tesis”.

Semua ini berlaku sebab Bersatu gagal tubuhkan Majlis Presiden?
Macam mana mahu tubuhkan Majlis Presiden, sedangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak menyokong PN? Ini kerajaan yang dipimpin oleh PN, tapi orang UMNO duduk makan gaji dalam kerajaan, naik kereta rasmi kerajaan, tapi mimpi lain-lain. Jadi saya fikir ini pelik dan unik, dan saya tak boleh salahkan sesiapa. Tapi kalau ditanya kepada saya sebagai rakyat biasa, tak boleh sebenarnya ada kerajaan macam ini.

PILIHAN RAYA
Keyakinan Bersatu menghadapi pilihan raya akan datang tanpa UMNO dalam PN?
Saya fikir masih terlampau awal untuk politik, sebab bila pilihan raya kita tidak tahu. Dulu kan ada kisah cinta antara UMNO dan Pas, Muafakat Nasional (MN). Tapi sekarang, kita pun tak tahu Pas lebih cintakan siapa, dia cinta BN atau Bersatu? Jadi politik Malaysia ini, ibarat potpourri boiling, dia nak jadi lauk apa, itu kita kena tunggu. Kita nak letak perasa apa dalam lauk itu nanti, itu tak tahu lagi.

Sebagai veteran, apa formula nak pastikan pergelutan dua blok haluan kanan ini tak beri ruang PH dan blok sosialis lain berkuasa semula?
Saya ini bukanlah ‘orang dalam’, tapi saya fikir dulu, penggabungan parti membentuk PN ini kononnya atas asas sayang dan kasih kepada Islam dan Melayu. Tapi sekarang, apa dah jadi kepada Islam dan Melayu ini kalau kita asyik bercakar? Tengok tak orang-orang DAP, bercakarkah mereka? Kalau kita asyik berkeadaan macam ini dan diadakan pula pilihan raya, keputusannya tidak akan ada parti yang akan mempunyai majoriti kuat, kita masih kena tubuhkan kerajaan campuran. Malah zaman kerajaan yang ada dua pertiga (kerusi Parlimen) dah habis, dah tiada, dah obsolete.

PUNCA MN PECAH?
Penyatuan Bersatu dan Pas menjadi punca perpecahan blok Muafakat Nasional?
Kalau kita pemimpin matang, pemimpin berkemampuan, tapi asyik salahkan golongan luar kononnya meretakkan permuafakatan kita, maka kita ini ibarat tiada daya muafakat. Jadi bermakna, kita tak boleh salahkan orang, kena tengok diri kita sendiri. Kalau kita boleh digoda oleh syaitan, atau kita kurang iman kita hingga tergoda, kemudian nak salahkan syaitan, sedangkan itu memang kerja dia. Jadi kita kena tentukan kita kukuhkan iman kita. Ini bukan Bersatu saja, sebab kita kena tengok di luar kamus politik. Dalam politik memang macam itu, memang lumrahnya ada persaingan yang akan menyebabkan orang buat itu dan ini, sebab masing-masing nak apa? Nak kuasa. Kadang-kadang macam Machiavelli punya teori, matlamat menghalalkan cara.

SKANDAL TANAH LGM
Pandangan mengenai isu pajakan tanah Lembaga Getah Malaysia yang dipalitkan terhadap Pas?
Saya tengok Pas di luar pemerintahan dan Pas dalam pemerintahan, ada berupa lain. Jadi nak komen macam mana? Dia punya pendekatan dan komennya terhadap isu politik, keagamaan dan dasar, berbeza berbanding dulu. Sekarang dalam tampuk pemerintahan, mereka cuba adjust kedudukan sebagai parti pemerintah, dan mungkin sekarang mereka anggap kelangsungan mereka dapat terjamin. Soalnya apa yang kita hendak? Kita hendak duduk dalam kerajaan atau duduk atas prinsip?

KEDUDUKAN DALAM GLC
Menggunakan jawatan dalam GLC untuk mengaut sokongan ahli politik, kesannya?
Saya punya pandangan, kita boleh tengok daripada dua aspek. Ia bukanlah satu yang luar biasa untuk parti pemerintah atau kerajaan meletakkan orang yang mempunyai pandangan sama dalam politik memegang jawatan (dalam GLC). Itu berlaku di Amerika, di United Kingdom dan negara lain, jadi janganlah asyik tengok buruk sahaja pada kita seolah-olah rumput di sebelah sana lebih hijau berbanding rumput di kawasan kita. Itu memang menjadi satu perkara yang biasa. Tetapi soalnya, kita perlu lihat balik definisi rasuah, sebab pelantikan itu perlu jelas, pelantikan tidak boleh dibuat untuk kita meraih sokongan. Sebab bila kita mahu meraih sokongan ia sudah jadi lain.

Boleh ulas lanjut?
Seseorang itu mesti layak, bukan sekadar beri elaun, beri gaji kepada orang yang kita anggap akan membantu tapi sebenarnya dia tak layak. Kesannya nanti, daripada rakyat sibuk bincangkan program-program kerajaan, mereka akan sibuk pula bincangkan isu pelantikan dalam GLC. Lebih-lebih lagi bila orang itu tercemar namanya. Jadi saya punya pandangan, tak menjadi kesalahan tapi ia perlu dibuat dalam urus tadbir yang baik.

POLITIK KITAR SEMULA
Pandangan mengenai sesetengah parti politik yang jarang tampilkan anak muda sebagai pelapis?
Saya menganggapnya macam ini, UMNO ini ada buat silap bila dia tak latih pemimpin baru dan pelapis. Bila ahli-ahli tengok, dalam kalangan barisan pemimpin ini, siapa pelapisnya? Pelapis ini kena ada dua, tiga lapis supaya ada kesinambungan. Kalau kita tengok parti bukan Melayu, mereka banyak betul pelapis. Pemimpin lama mesti ada sebab kita mahukan proses menyalurkan pengalaman dan ilmu kepimpinan, pasal kalau semua ambil orang baru saja, misalnya masa kerajaan PH dulu kelam-kabut, orang tak tahu macam mana nak jadi kerajaan. Jadi pada saya, ini perlu (gagasan orang lama dan baru dalam politik) tapi kita tak boleh asyik kitar semula. Kalau pun nak kitar semula, kita kena tukarkan kepada produk lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini