Tasik Chini: Kerajaan negeri akan bertindak segera - Utusan Malaysia

Tasik Chini: Kerajaan negeri akan bertindak segera

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri akan bertindak segera atas titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya kawasan Hutan Simpan Chini di Pekan dekat sini seluas 4,600 hektar ditambah kepada 6,000 hingga 7,000 hektar.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jabatan berkenaan seperti Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri diminta mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti kawasan tambahan seterusnya menguruskan soal pewartaannya.

“Peluasan ini wajar bagi menambahkan lagi liputan kawasan hutan demi menjaga dan memelihara serta memulihara alam sekitar Tasik Chini yang mana luas badan airnya sahaja ialah antara 200 hektar dan 700 hektar menurut musim.

“Ini juga dapat memberi keberkesanan lebih tinggi kepada usaha untuk menepati kehendak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengenainya,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Tengku Hassanal menitahkan kerajaan negeri bersama Kerajaan Pusat mempertahankan pengiktirafan bertaraf dunia Tasik Chini sebagai permata alam sekitar di negeri ini dan Tapak Rezab Biosfera (RB) UNESCO yang pertama di negara ini.

Dalam kenyataannya kepada pemberita, Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab. Rahman berkata, Tengku Hassanal mengambil berat dan sentiasa memantau usaha kerajaan negeri memastikan alam sekitar di Pahang sentiasa terjaga.

Menurut Ahmad Khirrizal, baginda juga menyeru agar semua pihak untuk sentiasa mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan urus tadbir yang baik supaya khazanah alam hari ini akan terus kekal dan dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Wan Rosdy berkata, RB Tasik Chini di bawah program ‘Man and Biosphere UNESCO’ telah diiktiraf sejak 2009 sebagai kawasan rizab biosfera pertama di Malaysia.

Jelasnya, status itu berlandaskan tiga teras utama yang berkaitan dengan pemuliharaan ekosistem termasuk spesies/hidupan, sokongan logistik termasuk aktiviti penyelidikan dan pembelajaran, serta pembangunan melibatkan ekonomi penduduk setempat.

“Bagi menjayakan ketiga-tiga teras utama ini, RB dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Teras, Zon Penampan dan Zon Peralihan dengan fungsinya yang berbeza. Dengan keluasan maksimum kira-kira 7,000 hektar seperti dititahkan, ia sangat memadai bagi menjayakan RB secara lebih berkesan.

“Apabila RB Tasik Chini dapat dijayakan dengan lebih berkesan, sekali gus dapat turut menyempurnakan titah Pemangku Raja Pahang agar pengiktirafan bertaraf dunia oleh UNESCO itu dapat terus dipertahankan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memperuntukkan RM10 juta untuk kerja-kerja penanaman semula di Tasik Chini.

Selain itu katanya, aktiviti penguatkuasaan akan terus diperkasakan termasuk pemantauan menggunakan teknologi ‘Light Detection Radar’ (LIDAR), dan dilaksanakan secara bersepadu serta berkala melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan negeri dan persekutuan.

“Semoga dengan usaha-usaha ini yang akan dilaksanakan sesegera mungkin sebagai menjunjung titah Pemangku Raja Pahang dan dengan komitmen tinggi semua pihak, Tasik Chini akan dapat dipulihara dalam tempoh masa sewajarnya, insya-Allah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya