Sorok dadah RM6.43 juta dalam kereta Bentley - Utusan Malaysia

Sorok dadah RM6.43 juta dalam kereta Bentley

MIOR Faridalathrash Wahid (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dari sebuah kereta jenis Bentley yang ditahan dalam sekatan jalan raya Rabu lalu. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Taktik dua lelaki mengubah suai kenderaan mewah bagi menyembunyikan dadah terbongkar apabila kereta jenis Bentley itu ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gopeng, Rabu lalu.

Difahamkan, kereta Bentley Flying Spur berwarna kelabu itu singgah ke Gopeng untuk mencari bengkel kerana dipercayai mengalami kerosakan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 41 dan 47 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai polis dari Balai Polis Gopeng pada pukul 7.30 petang.

Katanya, pemeriksaan pada kenderaan itu menemukan 117 bungkusan teh Cina yang mengandungi 122.5 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine di ruang penyimpanan barang bahagian belakang kenderaan yang telah diubah suai.

“Kedua-dua suspek dan kereta tersebut dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar untuk pemeriksaan lanjut di mana enam lagi bungkusan teh Cina ditemukan dalam kenderaan itu.

“Pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kampar menemukan bahan terlarang seberat 6.28 kg itu di ruang penyimpanan tayar tambahan di bahagian belakang kereta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Perak, Asisten Komisioner Lee King Chuan dan Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim.

Menurut Mior Farid, nilai keseluruhan rampasan 128.78 kilogram dadah jenis methamphetamine itu berjumlah RM6,439,000 selain pihaknya menyita wang tunai RM3,390.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing dilakukan ke atas kedua-dua suspek namun hanya lelaki berusia 41 tahun positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu dalam perjalanan dari Johor ke utara dan dadah berkenaan adalah untuk pasaran utara.

“Pemeriksaan mendapati, suspek yang juga ahli perniagaan itu menggunakan surat rentas negeri untuk melepasi SJR namun dokumen berkenaan telah tamat tempoh,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula Khamis lalu hingga Rabu ini untuk siasatan di bawah Seksyen 32B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Semakan ke atas rekod lampau mereka mendapati lelaki berusia 47 tahun itu mempunyai empat rekod lampau bersabit kes dadah dan satu rekod jenayah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya