'Sisi dari China' lesapkan wang RM23,000 - Utusan Malaysia

‘Sisi dari China’ lesapkan wang RM23,000

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Gara-gara ingin cepat kaya, seorang peniaga terpaksa berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM23,125 lesap akibat ditipu skim pelaburan tidak wujud di laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berusia 51 tahun itu bersetuju membuat pelaburan mata wang dalam satu pautan yang telah diberikan suspek kepadanya.

“Mangsa dipercayai dipujuk kenalan mayanya itu supaya menyertai pelaburan yang menjanjikan pulangan berganda selepas beberapa hari mengenali gadis menggelarkan dirinya Sisi, berasal dari China.

“Mangsa telah memasukan wang sebanyak RM8,220 ke dalam akaun yang diberikan namun untuk mendapatkan keuntungan berganda mangsa perlu memasukan lagi wang.

“Tanpa berfikir panjang mangsa menambah pelaburannya sebanyak RM14,905 melalui empat transaksi pada hari berikutnya sehingga 14 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Wazir berkata, mangsa bertindak mahu mengeluarkan wang pelaburannya dan terkejut kerana akaun miliknya telah disekat oleh ejen pelaburan tersebut.

“Mangsa cuba menghubungi suspek untuk bertanyakan perkara itu, namun suspek meminta supaya memasukkan lagi wang sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang sepatutnya diperoleh bagi mendapatkan semua wang yang ingin dikeluarkan.

“Mangsa merasakan dirinya ditipu dan tampil membuat laporan di Balai Polis Daerah Bentong. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyem 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN