PASIR GUDANG: Seorang lagi kanak-kanak yang dikhuatiri lemas dalam satu kejadian di sebuah longkang berhampiran Masjid Taman Cendana, di sini disahkan selamat.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kanak-kanak itu sebelum ini dikhuatiri lemas selepas seorang rakannya yang berusia 13 tahun terjatuh ke dalam longkang ketika mereka sedang bermain bersama-sama.
Katanya, maklumat daripada orang awam memaklumkan kanak-kanak itu tidak terjatuh dan telah dibawa ke tempat selamat oleh penduduk taman berkenaan.
“Oleh yang demikian, dalam kejadian itu hanya dua orang yang dilaporkan lemas iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dan seorang lelaki berusia 32 tahun.
“Kanak-kanak itu lemas selepas terjatuh ke dalam longkang sedalam dua meter ketika sedang bermain bersama rakannya di kawasan sekitar.
“Lelaki berusia 32 tahun itu lemas selepas bertindak terjun ke dalam longkang dalam cubaan untuk menyelamatkan kanak-kanak itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Mohd. Sohaimi, sehubungan itu operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan sebelum ini ditamatkan pada pukul 7 petang.
“Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke hospital untuk tindakan bedah siasat,” jelasnya.
Terdahulu, polis menerima laporan daripada seorang pengadu memaklumkan kejadian itu pada pukul 4.12 petang.










