Sebahagian besar petugas barisan hadapan 'burnout' - Utusan Malaysia

Sebahagian besar petugas barisan hadapan ‘burnout’

PETUGAS Jabatan Kesihatan Kuala Terengganu berehat seketika setelah selesai menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas penduduk di Kampung Laut. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tekanan melampau ‘burnout’ menjadi isu utama dihadapi sebahagian besar petugas barisan hadapan kerana bekerja melebihi komitmen untuk tempoh yang lama.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia mengakibatkan keletihan fizikal dan mental yang boleh mengganggu tumpuan serta produktiviti petugas barisan hadapan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat susulan satu kajian ke atas 893 petugas kesihatan oleh Roslan N.S. et. al. (2021).

Katanya, kajian terbabit adalah mengenai ‘Prevalen dan Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Burnout Dalam Kalangan Petugas Barisan Hadapan di Malaysia Semasa Pandemik Covid-19’.

“Isu berkaitan peribadi paling tinggi dalam kalangan pegawai farmasi dan petugas kesihatan di peringkat daerah iaitu 53.8 peratus manakala isu pekerjaan sebanyak 39.1 peratus melibatkan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan petugas di makmal mencatatkan peratusan tertinggi.

“Bagi isu berkaitan pesakit sebanyak 17.4 peratus dalam kalangan paramedik dan petugas kesihatan di hospital swasta. Malah kebanyakannya merasakan mereka tidak mendapat sokongan psikososial yang mencukupi di tempat kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, antara faktor wujudnya ‘burnout’ adalah kerana bebanan tugas, ketidakpastian tempoh pandemik yang panjang, pertukaran dan proses adaptasi terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang pelbagai, rancangan kerjaya terganggu dan kesulitan mengimbangkan keluarga dan kerjaya.

Bagi menangani masalah ‘burnout’ itu, katanya, kementerian melalui pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi dan kementerian.

“Kita juga mengambil tindakan sesuai bagi mencegah masalah ini daripada terus berlaku malah bantuan dan kaunseling sentiasa akan dihulurkan kepada mana-mana individu yang memerlukan khususnya petugas barisan hadapan.

“Semua petugas barisan hadapan disarankan untuk mengambil langkah penjagaan kendiri bagi mengelakkan ‘burnout’ seterusnya mewujudkan budaya kerja yang sihat dan ceria,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya