'Saya pernah hanya dapat RM4 sehari' - Utusan Malaysia

‘Saya pernah hanya dapat RM4 sehari’

WAN Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri kepada pemandu teksi yang kini terjejas akibat penularan wabak Covid-19 di Terminal Sentral Kuantan (TSK) di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Suka atau tidak, semua pihak terpaksa menerima keputusan kerajaan melaksanakan sekatan perjalanan menyeluruh (total lockdown) termasuk dalam kalangan pemandu teksi dan kereta sewa.

Kebanyakan pemandu teksi dan kereta sewa di bandar ini mengaku sukar menerima keputusan tersebut kerana ia bermakna mereka akan hilang pendapatan namun reda demi keselamatan semua.

Pemandu teksi, Ahmad Omar, 61, dari Bukit Sekilau di sini, berkata, pendapatannya terjejas teruk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan ketika ini.

“Sebelum berlaku kes Covid-19, saya mampu memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 sebulan namun sekarang ini hanya mampu meraih kira-kira RM800 sebulan.

“Malah ketika tempoh PKPD ini, saya pernah hanya dapat RM4 sehari,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan kerajaan negeri kepada pemandu teksi dan kereta sewa Kuantan di Terminal Sentral Kuantan (TSK) di sini hari ini.

Ahmad berkata, walaupun pendapatannya terjejas, dia masih perlu membayar sewa permit dan kereta terbabit yang disewa daripada orang persendirian dengan bayaran sebanyak RM500 sebulan.

“Mujur saya ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan sebagai pemegang kad orang kelainan upaya (OKU),” katanya yang juga OKU kurang pendengaran.

Bagi Rahmat Mohammad, 63, pula, dia hilang lebih separuh daripada pendapatannya ketika ini dan bantuan yang diumumkan Kerajaan Pusat serta sumbangan kerajaan negeri dapat meringankan beban yang ditanggung.

“Walaupun anak sudah besar dan masing-masing sudah berkahwin, namun saya tetap perlu bekerja bagi menyara diri sendiri dan tidak mahu bergantung sepenuhnya dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, seramai 231 pemandu teksi di daerah ini menerima sumbangan wang tunai dan pek makanan yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail secara pandu lalu di TSK.

Turut hadir pada program ringkas itu ialah Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN