GEORGETOWN: Pakej bantuan terbaharu Pemerkasa Plus bernilai RM40 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu disalurkan dengan segera kepada rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, ini kerana sekatan pergerakan terbaharu yang dikenakan itu memberi kesan besar terhadap ekonomi rakyat dan impaknya telah diketahui lebih awal.
“Apa yang kita harapkan ialah Kerajaan Pusat dapat segerakan penyaluran bantuan ini memandangkan PKP kali ini kita tahu lebih awal kesannya dari segi ekonomi kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Muhyiddin mengumumkan Program Bantuan Pemerkasa Tambahan (Pemerkasa+) dengan nilai keseluruhan RM40 bilion yang akan dilaksanakan berlandaskan tiga matlamat utama.
Menurut Jagdeep, rakyat telah melalui pelbagai PKP sejak tahun lalu justeru sewajarnya Kerajaan Pusat mempunyai pelan kontigensi dalam menghadapi PKP yang terbaharu ini.
“PKP adalah keputusan paling berat untuk dilaksanakan namun semua faham bagi mengekang penularan Covid-19, ia perlu dilakukan.
“Semua sektor akan terjejas ketika PKP dan disebabkan itu kerajaan perlu ada pelan kontigensi bagi mengatasinya,” katanya.
Dalam pada itu Jagdeep berkata, pihaknya juga meminta penjelasan daripada Kerajaan Pusat sama ada operasi pengurusan hartanah di skim bangunan berstrata dibenarkan untuk beroperasi ketika PKP kali ini.
“Sebelum ini operasi pengurusan hartanah di skim bangunan berstrata termasuk dalam kategori perkhidmatan perlu.
“Bagaimanapun, menerusi PKP terbaharu ini perkara tersebut masih belum dijelaskan, jadi saya memerlukan penjelasan daripada pihak berwajib sama ada pengurusan hartanah ini boleh beroperasi atau tidak,” katanya.