MELAKA: Seorang ibu tunggal penghidap kencing manis kronik dan anak lelakinya nyaris rentung apabila rumah pusaka didiami hangus sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Anakku Sayang, Kuala Sungai Baru di sini pagi tadi.
Mangsa, Zainon Ismail, 58, berkata, ketika kejadian dia sedang menggoreng cekodok sebelum kakak sepupunya yang tinggal bersebelahan menjerit memberitahu rumahnya terbakar pada pukul 9.55 pagi.
Katanya, dia kemudian cuba menyelamatkan diri namun pergerakannya terlalu perlahan ekoran kedua-dua belah kakinya bengkak teruk kerana penyakit berkenaan.
“Keadaan menjadi kecoh sekelip mata ketika saya sedang menggoreng cekodok di dapur dan anak saudara yang tinggal di sebelah rumah datang membantu memapah saya keluar untuk menyelamatkan diri.
“Anak lelaki tunggal saya berusia 37 tahun berada di luar rumah, namun dia juga terkejut dan terpinga-pinga melihat situasi tersebut sehingga tidak tahu berbuat apa-apa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Katanya, kebakaran tersebut dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran sampah berhampiran rumahnya yang menjadi marak susulan angin kencang.
“Anak buah saya kemudian menghubungi bomba, sementara menunggu lebih 10 penduduk kampung cuba membantu memadamkan kebakaran, namun tidak berjaya
“Saya dan anak kini tinggal sehelai sepinggang dan rumah pusaka ini satu-satunya harta yang kami ada,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah, Penolong Penguasa Hairi Affendy berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 9.59 pagi dan sepasukan 20 pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian, rumah tersebut telah terbakar sebanyak 90 peratus dan operasi pemadaman mengambil masa 15 minit sebelum dapat dikawal sepenuhnya
“Kerja-kerja overhaul terus dilakukan sehingga pukul 11.39 pagi,” katanya.










