Purata 10 orang bunuh diri di Pulau Pinang  5 bulan pertama tahun ini - Utusan Malaysia

Purata 10 orang bunuh diri di Pulau Pinang  5 bulan pertama tahun ini

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sekurang-kurangnya 10 orang membunuh diri dalam sebulan di Pulau Pinang dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini iaitu sepanjang pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19. 

Data itu dikongsi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang memaklumkan, sebanyak 53 kes bunuh diri dilaporkan berlaku di negeri ini antara Januari hingga Mei tahun ini. 

Menurut beliau, sepanjang tempoh lima bulan itu juga, sebanyak 19 kes cubaan bunuh diri turut dilaporkan berlaku di negeri ini. 

“Peningkatan angka kes bunuh diri tersebut diberi perhatian khusus oleh Jabatan Kesihatan negeri yang mana aspek penekanan kesihatan mental juga perlu diberikan perhatian sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja masih mencatatkan jumlah laporan tertinggi di Pulau Pinang iaitu membabitkan 27 kluster kilang dan tiga (3) bukan kilang. 

Kluster lain, jelasnya, adalah masing-masing dua melibatkan tapak binaan dan komuniti serta satu kluster pusat tahanan dan keagamaan. 

Dari aspek penguatkuasaan, katanya, sebanyak 101 buah kilang diarahkan tutup ekoran perebakan jangkitan Covid-19 dalam tempoh Januari hingga 20 Jun tahun ini iaitu sebanyak 45 buah di daerah Seberang Perai Tengah; Barat Daya (36); Seberang Perai Selatan (14) dan masing-masing tiga buah di Seberang Perai Utara dan Timur Laut. 

“Badan-badan penguat kuasa masih meneruskan operasi tindakan dari semasa ke semasa termasuk mengenal pasti kilang-kilang yang bertindak menipu serta menyembunyikan fakta sebenar,” katanya. 

Dalam pada itu jelasnya, sebanyak enam buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) telah diluluskan sehingga kini bagi merancakkan lagi proses imunisasi membabitkan sektor industri dan perkilangan di Pulau Pinang. 

Selain PPV Bukit Jawi Golf Resort yang telah beroperasi sejak 16 Jun lalu tambahnya, PIKAS di Hotel Equatorial di Bayan Baru dekat sini akan mula beroperasi pada 28 Jun ini. 

“PPV lapangan lain kelak membabitkan syarikat multinasional Intel Technology Sdn. Bhd.; Jabil Circuits Sdn. Bhd.; Plexus Manufacturing Sdn. Bhd. masing-masing di Bayan Lepas dan terkini Inari Amerton Berhad di Batu Kawan. 

“Semua PPV berkenaan akan terus beroperasi termasuk memberi perkhidmatan kepada kakitangan syarikat-syarikat lain sehingga dilaksanakan sepenuhnya membabitkan sektor berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya