KENINGAU: Proses vaksinasi di kawasan pedalaman Sabah dilihat semakin lancar dengan wujudnya pasukan bergerak dan program outreach secara berkala.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ketika ini, program outreach secara berkala sedang dipergiatkan di kawasan terpencil dan pedalaman Sabah bagi memastikan penduduk di pedalaman mendaftar dan mendapatkan vaksin.
Walaupun terdapat peningkatan jumlah penerima, masih ramai dalam kalangan penduduk di luar bandar belum menerima vaksin disebabkan faktor komunikasi dan perhubungan.
Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata, pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Masyarakat Sook yang mula beroperasi sejak semalam dilihat membantu meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan rakyat di kawasan pedalaman Sabah.
“PPV ini dijangka memberi sehingga 400 dos vaksin dalam tempoh sehari. Setakat ini sebanyak lima PPV di Parlimen Pensiangan sedang beroperasi iaitu di Klinik Kesihatan Nabawan, Dewan Masyarakat Sook, Balai Budaya Salarom Taka, Klinik Kesihatan Pagalungan dan Klinik Kesihatan Pensiangan.
“Satu lagi PPV sedang dipohon untuk dibuka iaitu di Dewan Masyarakat Nabawan untuk menampung keperluan penduduk di pedalaman yang agak ramai untuk diberikan vaskin,” katanya semasa melawat PPV Dewan Masyarakat Sook semalam.
Tambah beliau, kempen kesedaran vaksinasi juga terus ditingkatkan di kawasan ini dengan kerjasama Jabatan Penerangan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Daerah dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan masyarakat faham akan kepentingan vaksinasi.
Sehingga 18 Jun lalu, penerima vaksin di zon pedalaman Sabah iaitu Keningau, Nabawan, Tenom dan Tambunan adalah sebanyak 28,140 orang bagi dos pertama dan 11,755 orang untuk dos kedua.
Bagi meningkatkan liputan telekomunikasi dan internet yang lebih baik, kerajaan dibawah Pelan Jaringan Digital Negara (JENDELA) akan membina sebanyak 584 menara baharu di seluruh Sabah sehingga 2022. Daripada jumlah itu, sebanyak 40 menara akan dibina di kawasan Pensiangan.
Selain itu, projek menaik taraf jalan dari Sapulut ke Pekan Pagalungan yang sedang dalam pelaksanaan akan dapat meningkatkan akses kepada perhubungan darat yang lebih cepat dan mudah.
Arthur turut menyumbangkan lima buah komputer riba dan sepuluh khemah serta beberapa peralatan keperluan lain kepada Pejabat Kesihatan Daerah Keningau untuk digunakan sepanjang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ini. – UTUSAN ONLINE