fbpx

23 Mei 2022, 5:01 am

  TERKINI

Polis siasat video Timbalan Speaker ‘kenduri durian’

TANGKAP layar video memaparkan Mohd. Rashid Hasnon (duduk, kanan) bersama beberapa individu lain menikmati buah durian di sebuah dusun menjadi tular di media sosial di Batu Pahat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Polis akan menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan beberapa lagi individu yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP), baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kertas siasatan sudah dibuka dan sehingga kini, video memaparkan aktiviti wakil rakyat itu sedang menikmati buah durian tular dalam media sosial.

“Satu laporan polis sudah dibuat dan kertas siasatan dibuka untuk menyiasat kejadian yang berlaku.

“Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 18(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru kata Ismail, pihak polis akan memanggil ahli Parlimen berkenaan dan mereka yang terlibat dalam video tersebut untuk membantu siasatan.

“Pihak polis memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 13 saat tular di media sosial memaparkan wakil rakyat terbabit bersama individu lain sedang menikmati buah durian di sebuah dusun.

Perkara itu menimbulkan kemarahan netizen susulan negara kini sedang melaksanakan sekatan pergerakan penuh yang mana segala aktiviti riadah secara terbuka adalah dilarang.

Dalam pada itu, memetik laporan sebuah portal yang menghubungi Mohd. Rashid, beliau menafikan melanggar SOP dan memaklumkan rakaman tersebut dipercayai video lama pada tahun lepas sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

POPULAR

KOSMO! TERKINI