Peronda polis kejar penjenayah hingga ke kawasan sawah padi  - Utusan Malaysia

Peronda polis kejar penjenayah hingga ke kawasan sawah padi 

TANGKAP layar kereta peronda polis yang mengejar kenderaan dinaiki dua lelaki penagih dadah di laluan kawasan sawah padi di Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang tular di dalam media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Seorang penagih dadah gagal melarikan diri daripada polis meskipun memecut laju kereta jenis Proton Saga yang dipandunya di Penaga, di sini, semalam. 

Suspek berusia 47 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2.30 petang dikejar kereta peronda polis (MPV) sejauh kira-kira satu kilometer sehingga memasuki laluan kawasan sawah padi. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek sebelum itu dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah sebelum cuba menahan kereta terbabit. 

Namun jelas beliau, pemandunya enggan memberhentikan kereta dan memecut laju menyebabkan tiga MPV bertindak mengejar dari Jalan Bakau Tua melalui Jalan Rantai Panjang dekat sini. 

Bagaimanapun tambahnya, kereta suspek ditahan di Kota Aur dan pemandunya yang berusia 47 tahun ditahan manakala rakannya meloloskan diri. 

“Hasil pemeriksaan, polis menemukan satu tiub penyedut minuman mengandungi dadah disyaki jenis heroin dan satu lagi dipercayai mengandungi dadah jenis syabu. 

“Suspek yang memiliki beberapa rekod lampau itu turut didapati positif dadah jenis syabu dan usaha mengesan seorang lagi suspek sedang giat dijalankan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Menurut Noorzainy, kes itu disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Sementara itu, rakaman video berdurasi 17 saat yang memaparkan aksi MPV polis mengejar kereta suspek di atas ban atau batas padi tular di laman sosial sejak semalam. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN