Kontrak 100 penghantar barang ditamatkan: Ini jawapan Pos Malaysia - Utusan Malaysia

Kontrak 100 penghantar barang ditamatkan: Ini jawapan Pos Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pos Malaysia membuat keputusan untuk menamatkan lebih 100 penghantar barang Pos Rider pada 1 Julai ini bagi menyesuaikan kos dan mengoptimuman sumber yang ada bagi memastikan kemampanan perniagaan.

Pos Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu juga dibuat bagi menjaga kepentingan lebih daripada 13,600 kakitangan barisan hadapan Pos Malaysia di seluruh negara.

“Selain persaingan yang sengit, kami turut terkesan dengan lambakan perkhidmatan (penawaran harga rendah yang terlalu rendah) oleh sesetengah pemain industri, dengan tujuan untuk mengganggu pasaran.

“Untuk kekal berdaya saing dan terus bertahan dalam persekitaran perniagaan yang mencabar ini, kami harus menitikberatkan pengurusan kos yang berhati-hati dan berhemah,” katanya.

Pada masa sama, Pos Malaysia juga menyifatkan terdapat lebihan kakitangan Pos Rider meskipun ia diwujudkan bagi memberi sokongan kepada kakitangan tetap kurier Pos Malaysia terutama ketika waktu puncak dan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu. 

Ia ketika jumlah bungkusan melonjak berikutan peningkatan pembelian secara dalam talian, mewujudkan lebih daripada 1,400 peluang pekerjaan.

Namun, katanya, walaupun permintaan terhadap pembelian dalam talian terus meningkat tahun ini, landskap pasaran yang kompetitif menyebabkan penyedia e-dagang mewujudkan perkhidmatan penghantaran mereka sendiri.

Ini menyebabkan pengurangan ketergantungan pasaran terhadap pengiriman bungkusan oleh penyedia perkhidmatan kurier tempatan, lantas menstabilkan jumlah bungkusan.

“Ini menghasilkan lebihan sumber manusia dan mendorong Pos Malaysia untuk merasionalisasikan program Pos Rider,” katanya.

Oleh itu, Pos Malaysia membuat keputusan untuk melaksanakan fasa pertama rasionalisasi berkuat kuasa mulai 1 Julai ini di semua negeri kecuali di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak.

“Kami juga telah mengeluarkan notis pemberitahuan 14 hari kepada semua Pos Rider yang terlibat, mematuhi klausa penghentian seperti yang telah termaktub dalam kontrak,” katanya.

Kenyataan Pos Malaysia itu mengulas laporan Utusan Malaysia semalam bahawa lebih 100 penghantar barang kontrak Pos Malaysia merayu supaya pihak syarikat itu mempertimbang keputusan menamatkan perkhidmatan mereka pada 1 Julai ini. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN