Percepat sidang Parlimen walaupun secara maya - Utusan Malaysia

Percepat sidang Parlimen walaupun secara maya

MOHAMED HANIFF KHATRI ABDULLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan sepatutnya mempercepat persidangan Parlimen seperti yang dititah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-​Mustafa Billah Shah walaupun jika terpaksa dilakukan secara maya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla mempersoalkan tindakan tersebut, setelah banyak pihak termasuk dirinya mencadangan draf pindaan bagi membolehkan persidangan maya dijalankan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, cadangan itu telah dikemukakan lapan bulan lalu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun supaya mengambil langkah yang perlu bagi tujuan pindaan berkenaan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Ia bertujuan memasukkan satu bab baharu bagi membolehkan persidangan secara maya dijalankan.

“Kalau pandangan dan saranan ini dipatuhi lapan bulan lalu, maka tiada halangan untuk Dewan Rakyat bersidang sekarang. Jawatankuasa yang dicadangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak perlu ditubuhkan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Terdahulu, Muhyiddin memaklumkan, kerajaan akan melibatkan wakil pembangkang dalam jawatankuasa berkenaan berikutan terdapat aduan mendakwa mereka dikecualikan dan kebimbangan bahawa Parlimen hibrid bakal melumpuhkan peranan ahli Parlimen.

Perdana Menteri juga memberikan komitmen bahawa keputusan pembukaan sidang Parlimen akan diputuskan oleh kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.

Al-Sultan Abdullah sebelum ini menzahirkan pandangan, sesi sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Tambah Mohamed Haniff Khatri, kerajaan juga perlu menjawab persoalan, mengapa tiada usaha diambil sebelum ini untuk meneliti perkara berkenaan.

“Setelah lapan bulan baru hendak tubuhkan jawatankuasa. Jika dibuat lebih awal, segala keperluan persidangan maya sudah dapat dipatuhi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya