YANGON: Sesi perbicaraan pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi akan bermula minggu depan.
Menurut peguamnya, perbicaraan Suu Kyi akan bermula pada 14 Jun dan dijangka berakhir pada 26 Julai depan.
“Kami akan mendapat keterangan dari pihak plaintif dan saksi pada perbicaraan seterusnya yang akan bermula Isnin depan,” kata peguam, Min Min Soe selepas bertemu dengan Suu Kyi di ibu negara, Naypyidaw.
Min Soe berkata, Suu Kyi juga meminta semua orang sentiasa menjaga kesihatan dengan baik.
Peguam pemimpin itu dibenarkan bertemu dengan Suu Kyi sebanyak dua kali sejak junta tentera meletakkannya di bawah tahanan rumah.
Penerima Hadiah Nobel Keamanan itu didakwa dengan beberapa tuduhan jenayah sejak beliau ditahan bersama pemimpin politik.
Suu Kyi turut didakwa tuduhan lain seperti melanggar sekatan Covid-19 ketika kempen pilihan raya pada tahun lalu dan memiliki walkie-talkie secara tidak sah.
Konflik di Myanmar tercetus sejak junta tentera menggulingkan Suu Kyi pada 1 Februari lalu yang memegang tampuk pemerintahan selama lima tahun.
Menurut sebuah badan pemantau, hampir setiap hari penduduk Myanmar mengadakan tunjuk perasaan di sekitar jalanan menuntut pengembalian semula demokrasi dan menentang tindakan kekerasan pasukan keselamatan sehingga lebih 850 orang terbunuh. – AFP










