Penternak lembu disaran buat pengasapan elak LSD - Utusan Malaysia

Penternak lembu disaran buat pengasapan elak LSD

AHMAD Hamzah memeriksa bekalan buah-buahan yang akan disumbangkan kepada PKRC MITC, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyarankan semua penternak lembu menjalankan kaedah pengasapan di ladang ternakan masing-masing bagi mengekang jangkitan wabak penyakit kulit kental (LSD).

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, walaupun setakat ini hanya dua kes dilaporkan berlaku iaitu di Perak dan Selangor, namun jangkitan itu berpotensi merebak memandangkan ia disebarkan melalui serangga pembawa termasuk nyamuk.

Katanya, pada peringkat kementerian, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) telah mengawal semua sempadan dalam memastikan lembu-lembu dari luar negara disaring serta dikuarantin terlebih dahulu.

“Semua lembu-lembu dari luar akan dikuarantin dan sekiranya kita kesan ia mempunyai tanda-tanda wabak termasuk kulit bengkak, tempoh kuarantin ditambah selama 14 hari lagi.

“Di peringkat penternak, kita menyarankan agar kaedah pengasapan dibuat segera bagi mengelak kejadian ternakan dijangkiti wabak LSD ini kerana virus itu disebarkan melalui nyamuk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan bekalan buah-buahan dan bantuan selimut menerusi Program Prihatin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Zainal Abidin Yang Razalli dan Ahli Lembaga Pengarah FAMA negeri, Datuk Ghazalee Muhammad.

Mengulas lanjut, Ahmad Hamzah berkata, kerajaan sedang meneliti setiap bekalan daging import yang dibawa masuk terutama dari India susulan negara itu turut dilanda wabak LSD.

“Negara kita memang sentiasa kekurangan jumlah daging dengan jumlah penghasilan dalam negara cuma 30 peratus, manakala selebihnya terpaksa diimport dari luar negara termasuk India.

“Kini, ternakan di India juga diserang LSD dan kita terpaksa berjaga-jaga serta melakukan pemantauan lebih daging-daging yang diimport, dalam masa sama berusaha membantu meningkatkan bekalan dalam negara agar Kadar Sara Diri (SSL) negara mencukupi tanpa bergantung negara luar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN