Penduduk Taman Nirwana dakwa pasar raya punca kluster  - Utusan Malaysia

Penduduk Taman Nirwana dakwa pasar raya punca kluster 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jika pihak pengurusan sebuah pasar raya di Klebang dekat sini peka untuk menutup operasi lebih awal selepas mendapat tahu dua kakitangannya positif Covid-19 pada Sabtu dan Ahad minggu lalu, berkemungkinan Kluster Jalan Nirwana 2 tidak akan wujud.

Itu keluhan wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Nirwana yang mendakwa, sikap degil pihak pengurusan itulah yang menyebabkan wujud kluster Covid-19 di kawasan perumahan mereka.

Hazwani Zulkifli berkata, dalam satu hantaran di laman sosial Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) semalam, Jalan Nirwana 2 adalah kluster tempat kerja dengan 23 kes positif daripada 88 kontak rapat yang disaring.

 “Jika mereka fikirkan keselamatan pelanggan sudah tentu pihak pengurusan ambil langkah awal dengan tidak membuka pasar raya itu. Lihatlah apa sudah jadi, sekarang sudah ada Kluster Jalan Nirwana 2.

“Penduduk di sini sebenarnya risau bila lihat pasar raya ini beroperasi macam biasa pada 20 Jun lalu sedangkan dua kakitangannya disahkan positif Covid-19. Mereka hanya menutup operasi selepas pukul 2 petang hari itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Hazwani lagi, salah seorang pekerja pasar raya yang positif tinggal di taman berkenaan.

Dia berkata, pihaknya juga telah membuat laporan di Balai Polis Batang Tiga kerana khuatir dengan keadaan itu.

“Bagaimanapun, polis memberitahu pihak pengurusan memaklumkan, tiga pekerjanya yang tidak sihat sudah dikuarantin sejak tiga hari lalu. Ini kenyataan yang bercanggah,” ujarnya.

Lebih mengejutkan, dakwanya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah memberitahu, pasar raya tersebut dibolehkan beroperasi sehingga dua kakitangan itu selesai menjalani ujian saringan dilakukan Kementerian Kesihatan.

Tambahnya, salah seorang ahli JPKK telah membuat aduan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali melalui laman sosial Facebook.

“Ekoran aduan yang dibuat itu, akhirnya, pasaraya yang dibuka seperti biasa telah diarahkan tutup melalui notis daripada Kementerian Kesihatan yang ditampal di pasarr aya tersebut kira-kira pukul 2  petang,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN