Pelajar parah terlibat nahas ketika cari capaian internet untuk PdPR - Utusan Malaysia

Pelajar parah terlibat nahas ketika cari capaian internet untuk PdPR

SITI A'ISYAH MOHD. IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT:  Seorang pelajar perempuan cedera parah setelah terlibat kemalangan ketika bermotosikal ke rumah bapa saudaranya untuk mendapatkan capaian internet yang lebih jelas ketika mahu mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), di sini.. 

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, Siti A’isyah Mohd. Idris, 17,  pelajar aliran Sains Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Hussein terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Rantau Panjang-Selama, dekat sini ketika menunggang motosikal ke rumah bapa saudaranya di Taman Permai 2, Selama.

Capaian internet di kawasan rumah pelajar itu di Kampung Baru Batu 3, Selama agak lemah.

Kakak pelajar itu, Siti Nurzulfa, 22, berkata, adiknya terlibat kemalangan pada pukul 9.45 pagi  menyebabkan kecederaan patah paha kiri, tulang rahang dan terpaksa menerima jahitan.

“Adik saya masih di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Taiping namun keadaannya stabil,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, adiknya sering ke rumah bapa saudara mereka yang terletak  tujuh kilometer dari rumah mereka untuk mendapatkan capaian internet lebih jelas setiap kali sesi PdPR.

Siti Nurzulfa berkata, penduduk di kawasan ini sudah mengutarakan masalah capaian internet yang lemah kepada syarikat telco dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, di kampungnya terdapat 115 buah rumah dan hampir kesemuanya mempunyai anak-anak yang masih belajar dan berdepan masalah capaian internet untuk sesi PdPR.

“Kami di sini berharap kerajaan memberi fokus terhadap masalah capaian internet yang lemah di Selama.

“Kami sudah mengadukan masalah ini namun tiada perubahan. Kami juga ada hak untuk mendapat kemudahan ini walau tinggal di luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau, Mohd. Akmal Kamaruddin berkata, sebanyak 10 pencawang akan dinaik taraf bagi tempoh 2021 hingga 2022 di kawasan Selama.

“Ini bagi mengatasi capaian liputan internet yang lemah,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya