PASIR GUDANG: Sidang Parlimen secara hibrid yang dicadang baru-baru ini adalah mustahil untuk dilaksanakan kerana ia memerlukan pindaan ke atas Perlembagaan dengan kelulusan majoriti dua pertiga ahli Parlimen.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pindaan terhadap Perkara 62(5) itu perlu dibuat namun sukar dilaksana pada ketika ini.
“Ini sukar dicapai dalam keadaan sekarang jadi saya lebih menyokong sidang Parlimen diadakan secara biasa memandangkan semua ahli Parlimen telah mendapat suntikan vaksin Covid-19 masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kerosakan jalan raya di Lebuhraya Pasir Gudang di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung.
Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim mencadangkan sidang khas Parlimen diadakan awal Ogos untuk membincangkan bagaimana sesi Parlimen hibrid boleh diadakan.
Kedua-duanya kemudian dititahkan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini dan pertemuan itu difahamkan bagi membincangkan mengenai sidang Parlimen sebelum tempoh darurat berakhir 1 Ogos ini.
Sementara itu, Hassan berkata, Seri Paduka mempunyai kuasa memanggil semula sidang Parlimen di bawah peruntukan Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan tempoh enam bulan berlalu tanpa bersidang.
“Semasa tempoh darurat, Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa di bawah Seksyen 14(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen perlu dipanggil atau dibubar pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai.
“Seksyen tersebut menyatakan tarikh ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong, bukan Perdana Menteri. Turut disebut yang difikirkan sesuai ertinya Yang di-Pertuan Agong yang berfikir bukannya tunggu nasihat Perdana Menteri,” katanya.