Pahang melalui PPTC komited mengekalkan kelestarian Tasik Chini - Utusan Malaysia

Pahang melalui PPTC komited mengekalkan kelestarian Tasik Chini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang komited dalam usaha memulihara, memelihara dan mengekalkan kelestarian alam Tasik Chini, Pekan dengan memperuntukkan tanah seluas 8.1 hektar di kawasan berkenaan untuk dijadikan makmal alami bagi menjalankan penyelidikan dan proses pembelajaran.

Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) dalam kenyataannya memaklumkan, kerajaan negeri berkerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menubuhkan PPTC bagi keperluan pelaksanaan dasar di bawah Rancangan Struktur Negeri Pahang (2050) dan Rancangan Khas Kawasan Tasik Chini (2018) ke arah pembangunan mampan serta pemuliharaan tasik itu sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

“Dengan adanya PPTC di bawah naungan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM ini, pelbagai penyelidikan dapat dijalankan termasuk pengajaran, kerja lapangan, kesedaran alam sekitar dan penyebaran maklumat pengurusan tasik secara bersepadu.

“Selain itu, penyelidikan translasi dilaksanakan dengan menyumbang semula hasil dapatan penyelidikan dalam bentuk program kesedaran, modul pembelajaran dan latihan kepada masyarakat tempatan.

“Usaha tersebut bertujuan membantu membangunkan status sosioekonomi dan taraf pendidikan khususnya masyarakat Orang Asli yang mendiami sekitar Tasik Chini seperti di Kampung Gumum, Kampung Melai, Kampung Cendahan dan Kampung Tanjung Puput,” kata kenyataan itu di sini hari ini. 

Menurut kenyataan itu, usaha kerajaan negeri berjaya mengekalkan kelestarian alam sekitar dan kebudayaan di sebahagian besar kawasan Tasik Chini, sekali gus diteruskan bagi memastikan keseluruhan kawasan Tasik Chini terus dipulihara dan terpelihara alam sekitarnya.

“Pembinaan stesen ‘real-time monitoring’ ke atas kualiti air di sungai-sungai pembekal di Tasik Chini juga membantu dalam aspek pemantauan kualiti air dengan lebih berkesan. 

“Beberapa projek pemuliharaan yang dijalankan bersama-sama agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang serta Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM). 

“Antara aspek dilaksanakan ialah aktiviti penanaman semula hutan, pembinaan nurseri ikan serta pelepasan ikan bagi penambahan sumber perikanan air tawar, pemulihan tebing Sungai Chini, pemuliharaan teratai serta latihan dan kesedaran alam sekitar kepada komuniti tempatan,” katanya.

Sementara itu, UKM melalui PPTC telah memberi komitmen tinggi kepada kerajaan negeri bukan sahaja penyediaan kepakaran dan kewangan termasuk usaha pemuliharaan melalui penyediaan Pelan Perlaksanaan Strategik bersama-sama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang digunakan dalam Rancangan Khas Kawasan Tasik Chini.  – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya