SEREMBAN: Tahap penggunaan vaksin Covid-19 di Negeri Sembilan mencapai 95 peratus dan kini berbaki kira-kira 16,000 dos sebelum bekalan baharu sebanyak 49,000 dos vaksin tiba minggu depan.
Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) negeri, Datuk Dr. Razali Ab. Malik berkata, peratusan itu mencapai sasaran ditetapkan di setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dibuka di negeri ini.
“Alhamdullilah, di Negeri Sembilan PPV kita berjalan dengan lancar malah pada hari ini hasil laporan, penggunaan vaksin sudah mencapai hampir 95 peratus. Ia sudah menghampiri sasaran yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan.
“Stok vaksin di negeri ini hanya berbaki 16,000 dos, saya rasa kalau buka PPV Mega di Nilai pada hari Isnin, kemungkinan hari Selasa (stok) akan habis. Bagaimanapun, pada minggu depan stok vaksin akan tiba di negeri ini sebanyak 49,000 dos lagi,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan negeri berkata demikian kepada pemberita sewaktu menghadiri Program Simulasi Pengoperasian PPV, Institut Pengajian Tinggi (IPT) Mega di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, di sini hari ini.
Sementara itu, jelas Razali, program simulasi di PPV IPT Mega itu bertujuan melancarkan proses pemberian vaksin di PPV berkenaan yang dibuka Isnin ini.
“Pada hari Isnin, janji temu yang akan dikeluarkan untuk pemberian vaksin ialah seramai 1,500 orang walaupun kita tahu kapasiti di PPV IPT Mega ini 3,000 sehari.
“Tetapi untuk tiga minggu pertama ini kita akan panggil seramai 1,500 orang untuk dos pertama setiap hari,” katanya. – UTUSAN ONLINE