Murung, hubungi nombor ini - Utusan Malaysia

Murung, hubungi nombor ini

POLIS menyeru individu yang mengalami masalah dan tekanan supaya mendapatkan bantuan serta sokongan daripada ahli keluarga, rakan dan pihak menyediakan nasihat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesempitan hidup akibat kehilangan punca pendapatan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara faktor utama peningkatan jumlah individu mengalami tekanan perasaan.

Trend peningkatan mendadak jumlah pemanggil yang mendapatkan bantuan kaunseling ekoran masalah berkenaan dikenal pasti bermula awal tahun ini iaitu sekitar Mac lalu.

Bercakap kepada Utusan Online, Kaunselor Berdaftar Penyelaras Pusat Kaunseling Selangor, Rinatho Nunchi berkata, jumlah pengadu harian di Pusat Kaunseling Selangor meningkat sehingga 60 peratus berbanding sebelum ini. 

Katanya, jika tahun lalu jumlah pengadu harian hanya antara dua hingga tiga orang tetapi bermula Mac lepas, jumlah pengadu meningkat sehingga tujuh orang. 

“Kebelakangan ini semakin ramai pengadu yang tertekan berpunca daripada isu kewangan kerana ada antara mereka yang kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan. Ada juga yang pekerjaan mereka tidak terjejas tetapi mereka perlu membantu ahli keluarga lain yang terjejas.

“Kini jumlah aduan yang diterima mencecah tujuh orang dalam sehari malah ada juga pengadu berulang yang masih memerlukan khidmat kami,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Rinatho, majoriti pengadu yang diterima di pusat kaunseling itu adalah berbangsa Melayu.

“Mereka bukanlah berhubung melalui panggilan telefon sahaja tetapi lebih banyak mengadu menerusi aplikasi Whatsapp dan Telegram,” jelasnya.

Terdahulu, Bernama melaporkan, masyarakat diminta lebih cakna dan prihatin terhadap ahli keluarga dan orang sekeliling dalam mengenal pasti simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pandemik Covid-19 memberi impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu di seluruh dunia dan tidak terkecuali rakyat Malaysia.

Justeru katanya, adalah penting mengenal pasti perubahan tingkah laku individu seperti sentiasa kelihatan sedih dan murung, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan, kesukaran untuk menumpukan perhatian dan melakukan tugas harian yang biasa.

Selaion itu mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan, mengalami gangguan tidur dan selera makan, bertindak agresif dan kasar (abusive) kepada diri sendiri dan orang sekeliling dan menyalah guna alkohol serta dadah.

Selain itu, simptom awal kemurungan pula adalah seperti menyatakan perasaan hilang harapan atau bosan untuk hidup dan kehadirannya membebankan ahli keluarga di samping menyatakan keinginan untuk menamatkan riwayat hidup secara verbal atau penulisan.

“Sekiranya terdapat gejala-gejala yang disenaraikan di atas, individu perlu mendapatkan nasihat perubatan profesional dalam kadar yang segera bagi mengelakkan keadaan yang lebih buruk,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan sokongan yang diwujudkan seperti MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392; Talian Kasih 15999 / Whatsapp Talian Kasih di 019-2615999 (bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumah tangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan); KSK-Care JAKIM di Whatsapp 0111-9598214 dan Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929. – UTUSAN ONLINE 

 

habis

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya