SEPANG: Sejumlah 2,636 pokok orkid dari Taiwan ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) ketika pemeriksaan dilakukan di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) , di sini, kelmarin.
Pemeriksaan yang dilakukan pada pukul 5.30 petang ke atas pokok orkid itu mendapati nilai kesemuanya berjumlah RM150,300 dengan berat 516 kilogram (kg).
Pengarah Maqis Negeri Selangor, Zamri Hashim berkata, daripada pemeriksaan lanjut mendapati barang dagangan itu tidak mematuhi syarat import Maqis.
“Kesalahan yang dilakukan iaitu tidak menyatakan nombor permit pada sijil fitosanitasi sebagaimana yang dinyatakan permit, lesen dan perakuan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya lagi, barang dagangan tersebut dipercayai dibawa masuk untuk dijual di pasaran Malaysia dan kesemua pokok orkid tersebut ditahan untuk tindakan lanjut.
“Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
“Syarikat terbabit juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2), akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Zamri berkata, Maqis terus memperketatkan kawalan sempadan dan tidak akan berkompromi ke atas biosekuriti barangan yang dibawa masuk dari luar negara bagi memastikan komoditi pertanian mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan. – UTUSAN ONLINE