KUALA LUMPUR: Kerajaan mendesak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar bertindak mengekang isu pengiktirafan sijil vaksin digital yang wujud antara negara pengeluar ketika ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu perlu diselesaikan bagi mengelak diskriminasi antara negara-negara pengeluar vaksin.
Katanya, ini kerana ada negara yang hanya mengiktiraf vaksin tertentu berdasarkan pengeluar dan bukan berdasarkan pengiktirafan WHO.
“Eropah hanya mengiktiraf vaksin yang dikeluarkan negara mereka seperti Pfizer dan Astrazaneca.Begitu juga China yang hanya mengiktiraf vaksin buatan negara tersebut.
“Jadi semua negara di dunia perlu bersatu dengan tegas agar WHO bertindak dan mengarahkan vaksin yang diiktiraf agensi itu diterima pakai di semua negara tanpa ada diskriminasi kerana ia bukan langkah terbaik untuk bebas daripada pandemik Covid-19,” katanya ketika mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
Dalam pada itu, Khairy berkata, pemberian vaksin berbeza hanya akan ditentutkan selepas Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berpuas hati.
Menurutnya, kajian teknikal masih dijalankan jawatankuasa berkenaan untuk memastikan keberkesanan penggunaan vaksin berbeza kepada penerima.
“Jawatankuasa teknikal sedang kaji dapat pemberian vaksin berbeza tapi kita tak buat apa-apa keputusan. Sepanyol, Jerman dan Korea Selatan dah buat vaksin AstraZeneca campur Pfizer.
“Kita harap bekalan AstraZeneca tiada gangguan, kalau tiada gangguan kita boleh teruskan dengan pemberian dos kedua,” ujarnya.
Sementara itu, Khairy berkata, kebenaran sesebuah negara untuk membenarkan atau tidak kemasukan rakyat negara lain adalah isu polisi dan bukannya teknikal.
“Sama ada dibenarkan atau tidak kemasukan rakyat negara lain itu adalah isu polisi negara tersebut, tetapi bukan isu teknologi atau teknikal.
“Isu ini dibangkitkan antara kerajaan, kita benarkan rakyat negara lain untuk memasuki negara tetapi hanya jika kita kes harian di negara itu berkurangan,” katanya.- UTUSAN ONLINE










