Mageran: Saya ada pengalaman 22 tahun, jadi PM dua kali - Utusan Malaysia

Mageran: Saya ada pengalaman 22 tahun, jadi PM dua kali

sempadan
DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dengan pengalaman 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin dapat menyelesaikan masalah dihadapi negara jika memimpin Majlis Gerakan Negara (Mageran) seperti dicadangkannya. 

Pengerusi Parti Penaja Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, hasrat menerajui Mageran hanyalah bertujuan berkhidmat untuk negara dan bukannya demi kepentingan diri sendiri. 

“Saya mempunyai banyak pengalaman selama 22 tahun dan sudah menangani pelbagai jenis masalah seperti kewangan dan politik.

“Bukan pasal saya nak jadi orang besar sebab saya sudah memegang jawatan tertinggi dalam negara dan dua kali menjadi perdana menteri,” katanya di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian dalam satu temubual eksklusif bersama media tempatan secara dalam talian dan disiarkan di Facebooknya bertajuk Tun M Jawab Isu Majlis Gerakan Negara (Mageran), Hala Tuju Parti. 

Beliau mengulas soalan pemberita berhubung alasan beliau mencadangkan dirinya untuk memimpin Mageran selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 10 Jun lalu. 

Dalam siri pertemuan itu, Dr. Mahathir berkata cadangan itu atas keyakinannya menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan dihadapi negara serta kesan penularan pandemik Covid-19. 

Mageran pertama kali ditubuhkan pada 1969 diketuai Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan gerakan berkenaan terbukti berjaya dalam menyelesaikan masalah politik di samping negara kekal stabil untuk tempoh panjang.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, jika benar keinginannya menyertai gerakan menyelamatkan negara itu atas kepentingan sendiri, seleoknya beliau bersara daripada mencampuri sebarang urus tadbir negara yang bercelaru. 

“Saya pun rasa nak berehat macam orang lain nak seronok-seronok tetapi, saya dapati masalah ini memerlukan pengalaman yang panjang. 

“Kalau nak tolak saya tak apa tapi saya sanggup berkhidmat walau sudah tua. Bukan suruh semua orang terima pendapat saya tetapi saya nak beri pengalaman yang ada kepada negara. 

“Banyak orang berpendapat saya perlu beri dan gunakan pengalaman saya untuk kepentingan negara,” katanya. 

Mengulas keyakinannya untuk menyelesaikan masalah tersebut ketika situasi pada tahun 1969 dan sekarang, beliau berkata, ia akan bergerak  lebih lancar jika tiada gangguan oleh pihak tertentu yang meletakkan politik sebagai keutamaan. 

“Mageran dipenuhi pakar terutama dalam perubatan. Mereka beri nasihat tapi apabila ada pihak lain yang mengutamakan masalah lain, mereka mungkin tak setuju. 

“Saya berpendapat tentu ada cadangan dibawa pakar perubatan yang ditolak kerana ada ‘kepentingan’ lain. Sebab itu perlu ada badan terdiri daripada pakar dan tak dikuasai oleh orang-orang politik yang utamakan kedudukan dan pencapaian,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya