Kuota haji dimaklum sebaik terima keputusan Arab Saudi

Kuota haji dimaklum sebaik sahaja terima keputusan Arab Saudi

SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) masih menunggu keputusan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berhubung status ibadah haji bagi tahun ini termasuk kuota serta kriteria pemilihan jemaah.

Justeru, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya bersabar ketika menunggu keputusan dibuat dan sebarang perkembangan mengenainya akan dimaklumkan Tabung Haji sebaik sahaja pengumuman dibuat kerajaan Arab Saudi.

Bagaimanapun, bakal jemaah haji tidak perlu bimbang mengenai pandemik Covid-19 berikutan Tabung Haji sudah pun melakukan persiapan sejak awal tahun lalu termasuklah prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan sepanjang mengerjakan ibadah itu.

Pengarah Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, memberitahu perkara paling penting perlu ditekankan ketika ini adalah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum bertolak ke Tanah Suci.

“Dalam persediaan awal kami, Tabung Haji telah menyarankan semua bakal haji yang terpilih pada tahun 2020 untuk mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Namun begitu, bakal haji masih perlu lulus pemeriksaan kesihatan apabila menerima surat tawaran tunai haji kelak serta mengambil suntikan wajib iaitu meningococcal yang sudah pun diberikan sejak Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Justeru, beliau juga meminta bakal jemaah supaya bersedia bagi melaksanakan rukun Islam kelima itu termasuk persediaan dari aspek ilmu ibadah dan kesihatan.

“Semua bakal haji disaran untuk membuat persediaan dari aspek ilmu ibadah, kesihatan yang baik, rohani dan jasmani serta kewangan secukupnya bagi memastikan semua rukun dan wajib haji dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Bakal haji juga perlu bersedia menghadapi kelainan dalam menunaikan haji kali ini disebabkan norma baharu yang akan diamalkan pada musim ini,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan negara ini mungkin dapat menghantar sejumlah 4,000 bakal jemaah ke Mekah.

Beliau berkata demikian selepas memaklumkan Tabung Haji sebelum ini menyenaraikan 4,000 orang layak menerima vaksin Covid-19 untuk berangkat ke Tanah Suci dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac lalu memaklumkan Malaysia berjaya mendapatkan kuota tambahan sebanyak 10,000 menjadikan kuota rasmi sebanyak 41,600 orang.

Penambahan kuota itu diperolehi susulan lawatan beliau ke Arab Saudi selama empat hari pada 6 hingga 9 Mac lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya