Kompaun RM111,500 langgar SOP di Kampar - Utusan Malaysia

Kompaun RM111,500 langgar SOP di Kampar

HASRON NAZRI HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Sebanyak 19 kompaun berjumlah RM111,500 dikeluarkan terhadap pemilik kilang di daerah ini atas pelbagai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, jumlah kompaun itu direkodkan sejak pelaksanaan PKP 1.0 bermula tahun lalu hingga kini dengan 32 kilang telah diperiksa.

Katanya, dalam tempoh itu, sebuah kilang diarah tutup kerana beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Kesalahan pekerja tidak memakai pelitup muka ketika berada di dalam premis merekodkan kesalahan tertinggi dengan 10 kompaun diikuti empat kompaun kerana beroperasi melebihi had kehadiran 60 peratus pekerja.

“Selain itu, masing-masing satu kompaun bagi kesalahan gagal imbas MySejahtera, tidak menyediakan pengimbas suhu, pekerja asing gagal menjalani ujian pengesanan Covid-19 dan majikan gagal menyediakan QR Code MySejahtera dan buku kehadiran pekerja,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam tempoh sama pihaknya juga menahan tiga pekerja warga asing kerana tidak memiliki dokumen yang sah.

“Dalam operasi bersepadu itu, Majlis Daerah Kampar (MDKpr) mengeluarkan kompaun atas kesalahan tidak memakai pelitup muka manakala Pejabat Kesihatan Daerah pula mengenakan kompaun bagi kesalahan kapasiti pekerja melebihi 60 peratus,” katanya.

Sementara itu beliau memberitahu, dalam operasi di tiga buah lokasi di Mambang Diawan semalam, pihaknya mengeluarkan tiga kompaun terhadap dua buah premis termasuk pusat penternakan itik.

“Dua kompaun melibatkan kesalahan tidak memakai pelitup muka dan satu kompaun lagi kerana kapasiti pekerja melebihi 60 peratus,” katanya.

Tambahnya, operasi bermula pukul 10 pagi hingga 1.30 petang itu disertai 18 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN