fbpx

Kompaun rentas negeri paling tinggi di Kelantan

ABDULLAH Muhammad Piah (tengah) melawat kawasan PKPD di Kampung Pulau Tukang Dollah di Pengkalan Chepa, Kota Bharu. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH

KOTA BHARU: Polis Kelantan mengeluarkan 496 kompaun terhadap individu dan premis perniagaan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tempoh 1 Januari hingga 23 Jun lalu.

Daripada jumlah itu, kesalahan rentas negeri mencatat jumlah tertinggi dikompaun iaitu 204 kes diikuti kesalahan tidak memakai pelitup muka sebanyak 110 kes dan gagal menyediakan rekod kehadiran pelanggan, 69 kes.

Kesalahan lain antaranya melakukan pelbagai aktiviti dilarang (39 kes), tidak mematuhi penjarakan fizikal (31 kes), keluar rumah tanpa alasan kukuh (25 kes), premis beroperasi melebihi masa (12 kes) dan membawa penumpang lebih daripada had (enam kes).

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, kesemua kompaun terbabit dikeluarkan di bawah Akta 342 atau Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Jelas beliau, kesemua kesalahan berkenaan dikompaun minimum RM1,500 hingga maksimum RM20,000 membabitkan individu dan syarikat.

“Setakat ini kesemua kesalahan berkenaan masih dibenarkan membuat rayuan dan pihak yang dikenakan kompaun boleh memohon supaya dikurangkan jumlah denda.

“Mereka boleh melakukan rayuan di pejabat Kesihatan Daerah untuk tindakan lanjut dan akan diberi pengurangan denda sehingga 50 peratus oleh pihak berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Abdullah mengadakan tinjauan persiapan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pulau Tukang Dollah, Kemumin, Pengkalan Chepa.

Mengulas mengenai PKPD Kampung Pulau Tukang Dollah tersebut, Abdullah berkata, kawalan ketat pergerakan keluar masuk ke perkampungan yang menempatkan 866 penduduk akan bermula tengah malam ini hingga 8 Julai depan.

“Sepanjang pelaksanaan PKPD di kampung ini, seramai 25 pegawai dan anggota polis dibantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditempatkan bagi mengawal keadaan selama 24 jam sehari,” katanya.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!