fbpx

KL bandar ke-57 paling murah didiami di dunia

SEPANJANG tahun lepas, Kuala Lumpur berada di posisi ke-144 sebagai bandar raya yang tinggi kos untuk didiami pegawai dagang asing, namun kali ini jatuh lapan anak tangga. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kuala Lumpur muncul sebagai bandar raya ke-57 yang termurah untuk didiami ekspatriat untuk tahun ini, menurut kajian firma penyelidik antarabangsa, Mercer.

Agensi di bawah Marsh McLennan berpusat di New York, Amerika Syarikat (AS) itu menerusi indeks terkini disiarkan semalam melaporkan Kuala Lumpur juga ke-152 termahal di dunia.

Sepanjang tahun lepas, ibu kota Malaysia itu berada di posisi ke-144 sebagai bandar raya yang tinggi kos untuk didiami pegawai dagang asing, namun kali ini jatuh lapan anak tangga.

Berdasarkan semakan terbaharu, ibu negara Turkmenistan, Ashgabat pula muncul sebagai kota raya termahal bagi ekspatriat dan memintas Hong Kong, jatuh di tempat kedua.

Paling pelik, ibu kota Beirut, Lubnan yang tahun lalu hanya menduduki tempat ke-45, tetapi kali ini mengambil alih posisi ketiga daripada Tokyo, Jepun untuk senarai pada tahun 2021.

Perkembangan aneh ini mungkin ekoran pergolakan politik amat kritikal di negara Asia Barat itu yang melonjak kadar inflasi dan kejatuhan nilai mata wang pound terburuk dalam sejarah.


Justeru, kedudukan Zurich, Switzerland di tempat keempat pada tahun lalu, turun pula ke tangga berikutnya, disusuli Shanghai, China; Singapura; Geneva, Switzerland dan Beijing, China.

Sementara itu, kemerosotan Kuala Lumpur pula kemungkinan disebabkan impak buruk wabak Covid-19 dan ketidaktentuan siasah domestik mengakibatkan ekspatriat keluar dari Malaysia.

Ini menjadikan Kuala Lumpur di peringkat serantau lebih murah kos daripada Bangkok, Thailand (ke-47); Manila, Filipina (ke-78) serta Yangon, Myanmar dan Jakarta, Indonesia (ke-104).

Bahkan, kos sara hidup di Bandar Seri Begawan, Brunei (ke-122); Phnom Penh, Kemboja (ke-125) dan Hanoi, Vietnam (ke-139) didapati jauh lebih mahal berbanding Kuala Lumpur sendiri.

Kedudukan Kuala Lumpur di tangga ke-152 itu turut dikongsi bersama dengan tiga lagi ibu negara lain di tiga benua berbeza iaitu Mexico City, Mexico; Tirana, Albania dan Rabat, Maghribi.

Beberapa kota raya yang dianggap daif juga didapati lebih mahal untuk didiami ekspatriat kali ini daripada Kuala Lumpur antaranya Nairobi, Kenya (ke-145) dan Harare, Zimbabwe (ke-141).

Tidak ketinggalan Lagos, Nigeria (ke-19); Dhaka, Bangladesh (ke-40), Dakar, Senegal (ke-56) dan Luanda, Angola (ke-123) disebabkan arus kepesatan ekonomi dan trend pelaburan asing.

Kos hidup di Kuala Lumpur adalah mahal berbanding antaranya ibu kota Kanada, Ottawa (ke-156); Istanbul, Turki (ke-173), Bogotá, Colombia (ke-180) dan Addis Ababa, Habsyah (ke-194).

Indeks itu menyenaraikan Bishkek, Kyrgyzstan paling murah didiami, disusuli Lusaka, Zambia; Tbilisi, Georgia; Tunis, Tunisia; Brasilia, Brazil; Windhoek, Namibia dan Tashkent, Uzbekistan.

POPULAR

KOSMO! TERKINI