JOHOR BAHRU: Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI), di sini menggerakkan usaha bagi memastikan kira-kira 150,000 warganya di Johor mendapatkan suntikan vaksin dengan mengikuti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dianjurkan Kerajaan Malaysia.
Konsul Jeneralnya, Sunarko berkata, antara kaedah digunakan pihaknya adalah dengan mengadakan mesyuarat dalam talian secara mingguan bersama sebahagian daripada warganya.
“Menerusi mesyuarat itu, kami beri mereka nasihat dan kesedaran tentang pentingnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Malaysia dan berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera untuk membolehkan mereka menerima vaksin.
“Ini kerana tiada kaedah lain bagi mereka mendapatkan vaksin buat masa ini. Bagi mereka yang bekerja, kami menggalakkan majikan untuk menjaga kebajikan pekerja dengan mendaftar di aplikasi berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya, di sini hari ini.
Menurut Sunarko, majoriti rakyat Indonesia di negeri itu bekerja dalam sektor pertanian, perladangan, pembuatan dan pembinaan selain seramai 2,000 orang lagi merupakan pelajar di institusi pengajian tinggi. – UTUSAN ONLINE